
Bakat seni tidak pernah padam, namun tanpa peluang dan sokongan berterusan, penyanyi berkualiti berisiko dilupakan meskipun pernah mencipta nama serta memiliki kemampuan vokal yang tidak boleh dipertikaikan.
Menyedari hakikat itu, The Vazz Society mengambil inisiatif menganjurkan BANGKIT: Bakat Yang Tak Pernah Padam – Kempen CSR Apresiasi Bakat Seni, sebuah usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membuka semula ruang kepada penyanyi berpengalaman untuk mengetengahkan bakat, memperkenalkan karya dan kembali mendapat perhatian industri muzik tanah air.
Kempen yang julung kali dianjurkan di Kuala Lumpur International Hotel (KLIH), Kuala Lumpur, hari ini mengetengahkan tiga penyanyi daripada latar belakang perjalanan seni berbeza iaitu Sahri, Pija Yasin dan Fatin Faishal. Ketiga-tiganya mempunyai pencapaian, pengalaman serta kisah perjuangan tersendiri dalam industri muzik.
Berbeza daripada penganjuran persembahan hiburan biasa, BANGKIT bukan sekadar diwujudkan untuk mengimbau nostalgia, sebaliknya menjadi platform bagi mempertemukan semula bakat seni dengan penggiat industri, rakan media dan peminat yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan kerjaya seseorang penyanyi.
Pemilihan tiga penyanyi berkenaan juga bukan bersandarkan populariti semata-mata, sebaliknya mengambil kira pengalaman, kemampuan serta potensi mereka untuk terus menyumbang kepada perkembangan muzik tempatan sekiranya diberikan peluang dan sokongan sewajarnya.
Sahri, bekas peserta separuh akhir Akademi Fantasia musim pertama (AF1), pernah mencipta kejayaan apabila lagu Izinku Pergi dinobatkan sebagai pemenang Kategori Balada Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22) pada 2007.
Bagaimanapun, kekurangan tawaran nyanyian pernah mendorongnya beralih ke bidang produksi televisyen sebelum mengambil keputusan untuk kembali aktif sebagai penyanyi.
Pija Yasin pula pernah menjuarai Mentor musim pertama terbitan TV3, selain membawa bakatnya ke peringkat antarabangsa menerusi World Championships of Performing Arts (WCOPA) dan Asia’s Got Talent bersama kumpulan The 15.
Di sebalik pencapaian tersebut, Pija turut melalui pelbagai pengalaman pahit termasuk pernah ditipu sepanjang menguruskan kerjaya seninya.
Sementara itu, Fatin Faishal yang pernah menyertai Lagu Cinta Kita musim kedua dan All Together Now Malaysia sudah menghasilkan empat single bersama komposer berpengalaman termasuk Amylea dan Audi Mok.
Bagaimanapun, keterbatasan peluang promosi menyebabkan karya serta bakatnya masih belum mendapat pendedahan meluas seperti yang diharapkan.

Baca Artikel Lain;
BANGKIT Turut Terima Sokongan
Menerusi BANGKIT, ketiga-tiga penyanyi diberikan ruang untuk mempersembahkan kemampuan vokal masing-masing di hadapan tetamu jemputan, penggiat industri, peminat serta wakil media.
Mereka turut berpeluang berkongsi kisah perjuangan dalam bidang seni menerusi sesi sidang media yang diadakan bersempena kempen berkenaan.
Kempen CSR ini turut mendapat sokongan penuh Kuala Lumpur International Hotel (KLIH) selaku lokasi rasmi penganjuran sulung BANGKIT.
Pengarah Urusan KLIH, Muhammad Zairee Izwan Zahir berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan The Vazz Society dalam menjayakan kempen tersebut sebagai tanda sokongan terhadap usaha mengangkat bakat seni sebenar yang berkualiti di negara ini.
“Pasti semua masih ingat di lokasi sama KLIH bertapak ini iaitu Chow Kit, lokasi bersejarah penghibur legenda Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad pernah membuat persembahan pada April 1986 dengan kehadiran kira-kira 100,000 orang.
“Signifikannya, kami di KLIH bersedia bersama-sama menyokong industri seni di negara ini termasuk menjadi lokasi bagi acara yang sesuai,” katanya.
KLIH yang kini tampil dengan wajah baharu turut menawarkan pelbagai kemudahan dan keselesaan bagi penganjuran acara, selain memiliki kelebihan dari segi lokasi strategik di tengah-tengah Kuala Lumpur yang mempunyai nilai sejarah tersendiri dalam perkembangan industri hiburan negara.



Dalam pada itu, Suria FM selaku antara stesen radio utama negara turut menyatakan sokongan terhadap kempen CSR berkenaan yang dilihat mampu memberikan manfaat kepada penyanyi berbakat yang semakin kurang mendapat perhatian masyarakat.
Anda mungkin berminat dengan
Pengurus Besarnya, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin yang turut hadir menyifatkan BANGKIT sebagai satu langkah murni dalam usaha membawa kembali bakat nyanyian berkualiti kepada industri dan khalayak ramai.
“Saya percaya kempen ini mampu mengingatkan kembali kita semua pada bakat nyanyi yang berkualiti seperti Sahri, Pija dan Fatin,” katanya.
Penganjuran BANGKIT turut membawa mesej bahawa tanggungjawab memastikan kelangsungan bakat seni bukan hanya terletak di bahu penyanyi semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama penggiat industri, stesen radio, media, pihak korporat dan masyarakat dalam mewujudkan ekosistem hiburan yang lebih inklusif.
Lebih penting, kempen ini diharapkan dapat membuka ruang publisiti, jaringan kerjasama dan peluang persembahan baharu kepada artis yang terlibat, sekali gus membuktikan bahawa pengalaman, kematangan serta kemampuan vokal masih relevan dalam landskap muzik yang sentiasa berubah.
BANGKIT membawa satu mesej jelas bahawa bakat berkualiti tidak seharusnya dilupakan hanya kerana namanya tidak lagi menjadi sebutan di arus komersial.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

sekarang!

