
Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menganjurkan siri jelajah forum Pesona Sinema FFM35 bagi merapatkan jurang antara mahasiswa dan penggiat seni tempatan.
Berlangsung selama dua hari, siri jelajah berkenaan bermula di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kuala Pilah pada 17 November lalu, sebelum melabuhkan tirainya di UiTM Kampus Rembau hari ini.
Program tersebut berjaya menghimpunkan hampir 1,000 mahasiswa yang berpeluang mengikuti perkongsian eksklusif daripada barisan tokoh serta penggiat seni tersohor tanah air.
Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, penganjuran forum berkenaan merupakan satu inisiatif penting dalam memberikan kesedaran kepada generasi muda mengenai dinamika dunia digital serta kesannya terhadap reputasi dan kelangsungan kerjaya seseorang anak seni.
“Kerjasama berterusan bersama FINAS ini membolehkan kami membawa pakar industri untuk berkongsi ilmu kepada mahasiswa. Dalam era media sosial hari ini, platform digital adalah medan terbaik untuk mempamerkan bakat, namun ia juga merupakan pedang bermata dua.
“Sekiranya disalah guna, ia berisiko mencalarkan reputasi individu melalui fenomena ‘cancel culture’ yang semakin membimbangkan.
“Justeru, forum ini menjadi ruang diskusi matang antara mahasiswa dan individu berpengaruh yang pernah memenangi atau tercalon dalam sejarah 35 tahun Festival Filem Malaysia,” katanya.


Baca Artikel Lain;
Nad Zainal Kongsi Kepentingan Jaga Eksklusiviti
Di UiTM Kampus Kuala Pilah, forum bertemakan ‘Membina Jenama Peribadi Dalam Era Digital’ menampilkan tiga panel profesional iaitu pengarah, Shamyl Othman; pelakon, Nad Zainal; serta bakat muda yang semakin meningkat naik, Idan Aedan.
Menerusi sesi berkenaan, Nad Zainal atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 36, menekankan kepentingan mengekalkan nilai eksklusiviti serta disiplin diri ketika mengendalikan hantaran di media sosial bagi mengelakkan sebarang provokasi yang tidak perlu.
“Sebagai selebriti, kita perlu mengekalkan nilai eksklusif. Pesanan pensyarah saya yang sentiasa saya pegang adalah jangan biarkan kehadiran kita nampak ‘bersepah’.
“Jika wajah dan kehidupan kita terlalu terdedah di merata tempat, nilai istimewa itu akan pudar dan penonton tidak lagi berasa teruja untuk menyaksikan karya kita di layar lebar.
“Tugas utama saya adalah berlakon, jika pulang ke rumah saya adalah seorang isteri. Oleh itu, saya memilih untuk tidak mencampuri urusan orang lain atau memberikan ulasan berunsur provokasi. Saya lebih selesa berkongsi kandungan ringkas dan santai mengenai gaya hidup atau pendidikan anak-anak,” jelasnya.
Sementara itu, sesi pada sebelah petang turut menampilkan pelakon dan penerbit, Darling Ngasri yang bersama-sama membincangkan kepentingan membina penjenamaan diri dalam kalangan penggiat seni agar terus kekal relevan dalam industri seni masa kini.
Dalam pada itu, Tengku Khalidah turut menyentuh mengenai kepentingan kemahiran komunikasi yang perlu diterjemahkan secara positif bagi mengajak masyarakat mengekalkan kelestarian kehidupan dengan lebih menjunjung disiplin diri serta berada di landasan yang betul.
“Saya selalu percaya dalam apa juga keadaan ilmu komunikasi yang baik akan dapat membantu semua orang untuk meraih peluang lebih besar untuk kehidupan hari ini dan masa hadapan,” jelasnya.
Anda mungkin berminat dengan

AR Badul, Sweet Qismina & Andy Teh Meriahkan Jelajah Di UiTM Rembau
Siri jelajah berkenaan kemudian diteruskan di UiTM Kampus Rembau dengan penampilan istimewa legenda industri, AR Badul yang juga Pemenang Pengarah Terbaik FFM8.
Turut memeriahkan program ialah Sweet Qismina selaku Pelakon Wanita Terbaik FFM34 serta aktor aksi, Andy Teh.
Untuk rekod, program Pesona Sinema dianjurkan oleh Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebagai rakan strategik, selain Sit Connect Asia.
Penganjuran program ini merupakan antara pengisian strategik bagi menyemarakkan sambutan menjelang malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang dijadualkan berlangsung pada 21 November 2026 bertempat di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Acara berprestij itu bakal dikemudikan oleh Datuk Afdlin Shauki dan Amelia Henderson, selain disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!


