
Pelakon Zarif Ghazzi mengakui dirinya sentiasa berhati-hati dalam menjaga perilaku dan sahsiah, sama ada di media sosial mahupun kehidupan sebenar, demi memelihara nama baik dan keluarga, seiring populariti.
Zarif menyedari, perhatian yang diraihnya kini turut membuka ruang kepada pihak tertentu untuk mengambil kesempatan serta mencari kesilapan bagi menjatuhkan dirinya.
Justeru, dia berpendapat jejak digital bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh kerana setiap perkongsian, termasuk gurauan, berpotensi disalah tafsir sehingga mengundang persepsi negatif.
“Saya rasa kehidupan saya sama sahaja ketika sebelum dan selepas nama saya dikenali. Saya tahu jejak digital ini sangat bahaya dan boleh makan tuannya sendiri.
“Saya sangat menjaga perilaku di media sosial dan juga dalam kehidupan sebenar. Saya percaya bila kita berada di atas, akan sentiasa ada musuh-musuh yang menunggu untuk menjatuhkan kita.
“Ada kalanya hal-hal yang kita kongsikan itu hanyalah gurauan namun orang lain pula akan anggap serius. Semakin saya berada di atas, semakin saya berhati-hati.
“Saya anggap kesempatan ini satu tanggungjawab. Semakin nama saya dikenali, tanggungjawab saya untuk menjaga nama baik saya dan keluarga,” katanya kepada MH.
Zarif berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media drama Dua Nyawa yang berlangsung di Diamond Lounge, Pavilion Damansara Heights, Kuala Lumpur, baru-baru ini.



Baca Artikel Lain;
Populariti Perlu Seiring Kualiti Lakonan, Budi Pekerti Tetap Nombor Satu
Dalam masa sama, Zarif turut menegaskan dirinya tidak mahu terlalu terbuai dengan populariti sehingga meremehkan hasil kerja yang selama ini menjadi antara faktor menaikkan namanya.
“Perkara yang paling saya takut, populariti saya harus selaras dengan kualiti lakonan saya. Apabila kita dikenali dan hasil kerja kita menjadi perhatian, saya kena menjaga nama baik dan kualiti kerja saya.
“Semakin kita dikenali, semakin besar dan berat tanggungjawab itu. Insya-Allah dengan doa keluarga, peminat dan orang-orang sekeliling, nama saya akan terus kekal dan terhindar daripada masalah.
“Keluarga saya juga selalu berpesan, ke mana sahaja saya pergi, budi pekerti itu tetap nombor satu. Walau kita ada ilmu tapi tiada common sense, kita tidak akan pergi jauh,” katanya lagi.
Zarif menambah, setiap pelakon perlu bertanggungjawab menjaga perilaku dan nama baik diri kerana mereka bukan sahaja menjadi perhatian umum, malah turut berperanan sebagai contoh kepada masyarakat.
Jelasnya, status sebagai anak seni hadir bersama tanggungjawab yang perlu digalas dan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melepaskan diri daripada kesilapan yang dilakukan.
“Kadang-kadang ada pihak yang seolah-olah menafikan dan menganggap mereka juga manusia dan tak boleh lari daripada kesilapan. Pada saya menjadi seorang pelakon ini adalah pilihan.
Anda mungkin berminat dengan
“Ambil contoh kalau kita nak menjadi seorang pilot, tanggungjawab kita adalah untuk membawa 112 nyawa dengan selamat. Jika ada apa-apa yang berlaku, kita tak boleh cakap itu bukan tanggungjawab kita.
“Jadi pelakon ini adalah tanggungjawab dan pilihan. Ada tunggungjawab yang perlu kita bawa,” akhirinya.
Dalam perkembangan lain, Zarif bakal muncul menerusi drama terbaharu berjudul Dua Nyawa yang akan mula ditayangkan pada 13 November ini.
Selain Zarif, drama arahan Riza Abdullah itu turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Puteri Balqis, Jazmy Juma, Vanida Imran, Kodi Rasheed dan Datuk Seri Eizlan Yusof.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!


