
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan dia sebenarnya menerima jemputan untuk menyanyikan lagu kebangsaan, Negaraku pada saat akhir sempena acara MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), pada Ahad.
Menurut Siti, dirinya tidak keberatan untuk menyahut jemputan berkenaan, malah menyifatkannya sebagai peluang untuk menabur bakti kepada negara.

“Saya dipelawa untuk menyanyikan lagu Negaraku ini pada sangat akhir. Kebetulan saya dan suami memang datang ke Sepang untuk menyaksikan perlumbaan MotoGP.
“Sehari sebelum hari perlumbaaan, pihak yang terbabit ada bertanya kesudian saya kepada suami. Jadi, saya pun okay sahaja. Kiranya ini adalah bakti buat negara.
“Saya agak gemuruh juga sebenarnya. Ingatkan saya akan menyanyi menggunakan ‘minus one’, rupanya saya akan diiringi kumpulan pancaragam ATM,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Cindai itu berkata demikian ketika ditemui pada acara Malam Apresiasi Konsert Legacy 30 dan Konsert Tradisional Gema Bumantara yang berlangsung di Pusat Konvensyen KLGCC, Kuala Lumpur, malam tadi.
Berbincang Dengan Pancaragam Menerusi Telefon
Dalam masa sama, Siti bersyukur apabila persembahan tersebut berjalan lancar meskipun mempunyai waktu yang singkat untuk membuat persiapan.
Malah, perbincangan dan latihan bersama pasukan pancaragam juga dilakukan menerusi panggilan telefon.

“Apapun, saya kena dengar susunan muziknya dahulu. Mulanya susunan muzik itu dibuat untuk vokal lelaki.
“Pasti suara saya akan tenggelam. Jadi, saya berbincang dengan pasukan pancaragam mengikut kesesuaian ‘key’ saya.
“Saya nyanyikan ‘key’ saya itu menerusi pesanan suara dan hantarkan kepada mereka. Mereka ubah susunan muzik agar bersesuaian dengan vokal,” katanya lagi.
Mengulas mengenai bahagian akhir lagu Negaraku yang tular di media sosial, Siti menjelaskan, dia cuba menyuntik elemen lebih bersemangat ketika menyampaikan lagu kebangsaan itu.

“Pada bahagian terakhir lagu itu, saya hanya naik ‘key’ sahaja. Saya nak jadikan momen itu lebih bersemangat.
“Saya nak tunjukkan yang Malaysia juga punyai lagu kebangsaan yang hebat,” katanya lagi.
Terbuka Jika Diberi Peluang Rakam Semula
Ditanya sama ada dirinya terbuka sekiranya diberi tawaran untuk merakamkan semula lagu Negaraku bagi digunakan dalam majlis-majlis rasmi, Siti memaklumkan dia tidak mempunyai halangan sekiranya perkara itu dilakukan demi kebaikan bersama.

Anda mungkin berminat dengan
“Saya tak tahu nak ulas bagaimana. Saya percaya ada yang okay dan tak okay. Itu perkara biasa. Penerimaan orang berbeza-beza.
“Ada yang suka suara (nyanyian) lelaki dan ada yang suka suara perempuan. Jika buat demi kebaikan, saya okay sahaja.
“Pada saya, artis lain pun boleh membawakan lagu itu. Namun, cara nyanyian tidak boleh terlalu berlebihan.
“Alhamdulillah bila nyanyian saya itu diterima ramai. Maknanya persembahan itu berjaya,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Kredit Foto: Instagram Sepang International Circuit
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!


