
Pendakwah bebas, PU Riz mengakui terkilan apabila timbul dakwaan yang mempersoalkan kelayakan akademik serta tauliah dimilikinya untuk mengajar ilmu agama.
Menurut PU Riz atau nama sebenarnya, Haris Ismail, dakwaan tersebut tidak benar memandangkan dia sudah memiliki tauliah sejak 2020, selain mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang pengajian Islam.

“Dakwaan yang mengatakan saya tidak mempunyai tauliah itu amat teruk. Saya punyai tauliah sejak tahun 2020 lagi.
“Berhubung kelayakan pendidikan pula, saya terima macam-macam dakwaan. Agak sakit hati saya juga. Pertamanya saya belajar di Mesir. Kemudian, saya sambung pengajian ijazah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
“Pada minggu lepas, saya baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Pengajian Islam di Open University Malaysia (OUM).
“Jadi, saya merasakan tiada lagi persoalan dalam isu ini
“Saya punyai kelayakan pendidikan dan tauliah negeri. Perkara itu boleh diakses di platform-platform yang sepatutnya. Untuk tauliah pula, boleh diakses melalui Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,” katanya kepada MH.
Suami kepada selebriti terkenal, Neelofa itu ditemui pada sidang media bersama peguam yang berlangsung di pejabat Faizal Rahman & Co, Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Dakwaan Disifatkan Melampau, Jejas Maruah Sebagai Pendakwah
Jelas PU Riz, keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang dibuat selepas dakwaan berkenaan disifatkan keterlaluan sehingga berpotensi menjejaskan reputasi serta maruahnya sebagai pendakwah bebas.

“Saya terpaksa ambil tindakan kerana kenyataan itu amat melampau. Kami sudah pun menyerahkan surat tuntutan. Kalau orang tak suka saya, saya tiada masalah.
“Kalau nak cakap tentang hal yang memang saya punyai kelayakan ia melibatkan maruah. Jika seseorang itu dilabel tiada tauliah, itu bermakna kita menyampai ajaran sesat,” ujarnya.
Katanya lagi, dakwaan tersebut turut mengundang rasa sedih kerana segala usaha serta kelayakan yang dimilikinya seolah-olah tidak dihormati, lebih-lebih lagi apabila tuduhan berkenaan mula mendapat perhatian ramai.

“Saya sangat sedih. Saya selalu bagi tazkirah dan kenyataan sebegitu memang tak patut. Nak kritik, tiada masalah. Kalau soal kelayakan, saya memang tamat belajar dan minta keizinan untuk bercakap.
Anda mungkin berminat dengan
“Pada awalnya, saya tak terasa sangat. Lama-kelamaan keadaan itu menjadi lebih teruk. Saya tak nak memanjangkan isu ini tapi dakwaan ini terlalu dasyat. Saya pun ada perasaan.
“9.2 juta capaian itu bukan jumlah yang sikit,” kongsinya lagi.
Beri Tempoh 48 Jam, Individu Terbabit Berdepan Saman RM1 Juta
Terdahulu, PU Riz menerusi peguamnya, Faizal Rahman daripada firma guaman Faizal Rahman & Co, mengambil langkah undang-undang dengan menghantar surat tuntutan kepada seorang individu berhubung dakwaan yang mempersoalkan kelayakan akademik serta tauliahnya sebagai pendakwah bebas.
Menerusi notis tuntutan tersebut, PU Riz memberikan tempoh selama 48 jam kepada individu berkenaan untuk menurunkan hantaran, menghentikan sebarang fitnah, memberikan jaminan untuk tidak mengulangi tindakan sama, membuat permohonan maaf secara terbuka serta membayar pampasan.
Sekiranya gagal mematuhi tuntutan tersebut, individu berkenaan bakal berdepan tindakan saman bernilai RM1 juta.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!


