
Pelakon, Zul Ariffin mengakui tidak berasa kecewa apabila namanya gagal tembus dalam senarai ‘Top 5’ dalam pencalonan Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35).
Menurut Zul, perkara lebih utama baginya adalah memberikan persembahan terbaik dalam setiap naskhah yang dijayakan, sekali gus menghasilkan karya berkualiti untuk tontonan masyarakat.


“Saya rasa anugerah itu adalah bonus dalam kerjaya. Ia bukan perkara utama kerana tanggungjawab saya adalah untuk memberikan persembahan dan menghasilkan karya yang terbaik.
“Kita menghasilkan filem untuk tontonan masyarakat dan menghiburkan mereka.
“Mengenai pencalonan dan sebagainya kalau ada, Alhamdulillah dan kalau tiada pun saya tetap bersyukur.
“Perkara itu bukan sesuatu yang akan mengecewakan saya kerana sudah beberapa tahun saya mempunyai pendirian seperti itu,” katanya kepada MH.
Zul berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana filem Pemuja Syaitan di TGV Cinemas, Suria KLCC, baru-baru ini.
Anugerah Itu Bonus, Utamakan Peningkatan Mutu Kerja
Dalam pada itu, pelakon filem Sheriff itu menambah, dia lebih menghargai kepercayaan yang masih diberikan pihak produksi serta penerimaan penonton terhadap hasil lakonannya berbanding mengejar pengiktirafan.


“Pada usia sekarang, apabila masih ada pihak produksi yang mahu mendapatkan khidmat saya dan penonton masih menerima hasil kerja saya, itu sudah cukup membuatkan saya bersyukur.
“Sejak bila pula saya mengejar anugerah? Apa yang saya kejar adalah peningkatan mutu kerja dari semasa ke semasa.
“Kalau kita terlalu mengejar anugerah, itu sebenarnya resipi untuk mengecewakan diri sendiri,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, Zul tidak menafikan kejayaan menerima anugerah sebelum ini memberikan kegembiraan dan menjadi pembakar semangat untuk terus memperbaiki mutu lakonannya.
“Saya akui pernah merasai pengalaman itu sebanyak dua kali. Memang seronok, teruja dan sangat memberikan motivasi.
“Tetapi dari semasa ke semasa, saya masih perlu memperbaiki hasil kerja. Pengarah tetap boleh menegur kita.
“Bukannya selepas menerima trofi, tiba-tiba pengarah tidak boleh memberikan teguran.
“Memang indah apabila menerima pengiktirafan seperti itu, tetapi ia bukan sesuatu yang perlu dikejar-kejar,” jelasnya.
Kru Di Belakang Kamera Turut Wajar Dihargai
Pada masa sama, Zul turut memahami perasaan segelintir pelakon yang mungkin kecewa apabila tidak menerima pencalonan atau pengiktirafan yang diharapkan.
Namun, pelakon filem Tarung: Unforgiven itu berpendapat perasaan tersebut tidak seharusnya dibiarkan berlarutan sehingga menjejaskan fokus seseorang pelakon terhadap kerjayanya.


“Saya tahu ada pelakon lain yang kecewa apabila tidak mendapat apa yang diinginkan. Saya faham perasaan itu.
“Tetapi perkara tersebut tidak boleh diberikan ruang terlalu besar dalam fikiran kerana akhirnya boleh mengganggu mutu kerja kita.
Anda mungkin berminat dengan
“Kita ini pelakon dan bukan semua perkara perlu berpusat kepada diri sendiri. Dalam sesebuah produksi, kita hanyalah sebahagian daripada pasukan yang besar,” katanya.
Malah, Zul turut menegaskan individu yang bekerja di belakang tabir juga wajar diberikan penghargaan atas usaha dan komitmen mereka dalam menjayakan sesebuah produksi.
“Jika boleh, berikan semua anugerah itu kepada pasukan produksi di belakang kamera.
“Kami yang berada di hadapan kamera ini tidak melakukan kerja yang lebih mencabar berbanding mereka.
“Bagi saya, kalau dapat anugerah, Alhamdulillah, itu bonus.
“Namun, pengiktirafan tersebut tetap akan saya dedikasikan kepada mereka yang bekerja lebih keras di belakang kamera,” akhirinya.
Terdahulu, Zul pernah merangkul trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada FFM ke-31 menerusi filem Sangkar pada Disember 2021.
Selain itu, aktor sasa itu juga pernah merangkul Anugerah Pelakon Harapan Lelaki pada FFM ke-26 menerusi filem Penanggal.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

