
Usahawan, Nur Nilam Ortiz mendedahkan penubuhan inisiatif kebajikan, Nilam Care Foundation bertujuan membantu golongan wanita mendapatkan khidmat guaman secara percuma.
Menurut Nilam, antara faktor yang mendorongnya menubuhkan yayasan berkenaan adalah keprihatinannya terhadap nasib wanita yang berdepan masalah perundangan, namun tidak mendapat bimbingan serta nasihat sewajarnya.

“Saya pernah bodoh dan terikut emosi. Bila saya lihat kes-kes viral yang berlaku sejak dua hingga tiga tahun lepas, saya nampak ada di antara wanita tidak diberikan nasihat yang betul.
“Disebabkan faktor itu, mereka ada potensi untuk tidak menang kes di mahkamah. Kesannya, duit akan lesap dan maruah tercalar.
“Jadi, saya tubuhkan Nilam Care Foundation ini untuk membantu para wanita untuk menjadi lebih bijaksana. Mereka akan dibimbing oleh orang-orang yang berkeupayaan memberikan nasihat guaman dari segi syariah, sivil dan jenayah.
“Kita juga ada bimbingan daripada pakar psikatri dan kaunseling,” katanya kepada MH.
Sediakan Proses Saringan, Pastikan Bantuan Diberikan Kepada Yang Layak
Jelas Nilam, setiap individu yang ingin mendapatkan khidmat guaman menerusi yayasan berkenaan perlu melalui proses saringan terlebih dahulu bagi memastikan kes yang dikemukakan mempunyai asas kukuh serta memenuhi kriteria bantuan yang ditetapkan.

“Sesiapa sahaja yang meminta bantuan kami, perlu lalui proses dengan peguam dahulu. Pihak peguam akan meminta segala bukti, fakta kes dan kronologi.
“Bila sudah periksa dan diteliti segalanya, barulah peguam kita akan tentukan saluran yang sesuai. Kemudian, kita akan adakan pertemuan lanjut.
“Kita juga ada menerima aduan yang macam main-main. Sesuka hati mohon bantuan keperluan asas. Kita bukannya tak boleh bagi cuma keutamaan kita adalah kepada mereka yang memerlukan bantuan guaman yang besar kosnya,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, isteri kepada pelakon, Azlan Komeng ini turut menjelaskan bahawa kelangsungan projek kebajikan berkenaan dibiayai menerusi hasil jualan produk di bawah jenama Nilam Empire.

“Nilam Care Foundation ditubuhkan selepas Nilam Empire. Untuk terus kekalkan bantuan ini adalah menerusi penjualan produk Nilam Empire. Ia hasil daripada orang-orang yang membeli.
“Sebahagian daripada hasil jualan, kita akan infaq kepada masjid, pertubuhan anak yatim dan banyak lagi badan kebajikan. Dari situ juga kita mohon doakan kesejahteraan dan keselamatan kepada mereka yang membeli.
“Sebahagian lagi, kita akan salurkan kepada Nilam Care Foundation. Kalau tak cukup, saya akan tambah melalui wang peribadi,” kongsinya lagi.
Anda mungkin berminat dengan
Mahu Jadi Tempat Harapan Buat Wanita Yang Memerlukan
Mengulas lanjut, Nilam berharap penubuhan Nilam Care Foundation dapat menjadi platform sokongan buat golongan wanita yang berdepan pelbagai permasalahan, khususnya mereka yang memerlukan bantuan serta perlindungan dari sudut perundangan.

“Dengan wujudnya Nilam Care Foundation ini, bila para wanita yang ditimpa masalah, saya harap mereka akan tahu bahawa ada seorang ibu yang ambil berat tentang mereka.
“Kita mahu mereka menjadi cerdik. Ada kalanya mereka tak tahu pun sesuatu perkara itu adalah jenayah. Mereka tak tahu soal hukum.
“Saya mahu Nilam Care Foundation menjadi satu tempat harapan. Bila mereka datang berjumpa kami, saya nak mereka rasa selamat dan ada tempat untuk dituju,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

sekarang!

