
Penyanyi dan komposer, Aina Abdul mengakui tersentuh dengan sokongan luar biasa yang diberikan seluruh rakyat Malaysia, khususnya rakan-rakan artis sepanjang penyertaannya dalam pertandingan Eurovision Song Contest Asia 2026.
Menurut Aina, pada awalnya dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk memberikan reaksi terhadap sokongan yang diterima memandangkan itu merupakan kali pertama sepanjang hidupnya menerima perhatian dan sokongan sebesar itu.
Sokongan Luar Biasa Jadi Satu Doa
“Saya sebenarnya agak takut bila melihat ramai yang memberikan sokongan kepada saya sepanjang bertanding di Eurovision Asia. Perkara itu sedikit sebanyak menjadi tekanan buat saya.
“Seumur hidup, saya tak pernah menerima sokongan sebesar ini. Ramai yang menitipkan kata-kata semangat buat saya. Saya tak tahu bagaimana nak beradaptasi dengan situasi ini.
“Namun, saya anggap kata-kata mereka itu satu doa terutamanya daripada rakan-rakan artis. Malah, ada diantara mereka yang pernah merasai apa yang saya rasa.
“Mereka yang senior ini sudah ada banyak pengalaman bertanding juga,” katanya kepada MH.
Aina berkata demikian ketika ditemui pada sidang media yang berlangsung di Balai Berita NSTP, Kuala Lumpur, pada Khamis.
Dalam pada itu, pelantun lagu Terus Hidup tersebut turut meluahkan rasa terharu melihat keprihatinan rakan-rakan artis yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat kepadanya sejurus selepas tamat persembahan.

“Ada ramai rakan artis yang mesej saya selepas selesai pertandingan. Bagi saya, tindakan mereka itu amat murni. Mereka betul-betul risau tentang saya. Jadi, mereka bertanya tentang saya.
“Terima kasih kepada kalian. Anda tahu siapa anda. Ada juga yang mesej saya lima minit selepas habis persembahan,” kongsinya lagi.
Terharu Terima Dedikasi Istimewa PMX
Selain rakan-rakan artis dan peminat, Aina turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang turut menitipkan dedikasi istimewa buat dirinya sebelum membawa nama negara ke pentas Eurovision Asia.

“Kepada Perdana Menteri kesayangan kita, saya rasa seperti mimpi bila terima ucapan istimewa. Pada awalnya, saya okay sahaja kerana saya tahu ada banyak lagi perkara yang PMX nak fikirkan.
“Saya risau jika peminat saya terlalu mendesak yang membuatkan PMX terpaksa memberikan ucapan itu. Apapun, terima kasih banyak kepada mereka yang menyokong.
“Saya harap keputusan ini dapat membanggakan semua orang. Walaupun tidak dapat menduduki tangga tiga terbaik tapi ia sangat hampir.
“Alhamdulillah dengan apa yang Allah telah bagi,” akhirinya.
Anda mungkin berminat dengan
Terdahulu, Aina mewakili Malaysia dalam edisi sulung Eurovision Asia Song Contest 2026 yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada 14 November lalu.

Menerusi pertandingan tersebut, Aina berjaya menduduki tempat keempat dengan mempersembahkan lagu Bluest Sky, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas pertandingan muzik antarabangsa.
Sementara itu, wakil Filipina, Carmelle dinobatkan sebagai juara edisi sulung pertandingan berkenaan menerusi lagu Sobra-Sobra selepas berjaya mengumpul 211 mata keseluruhan.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

sekarang!

