
Pelakon Datuk Jalaluddin Hassan tidak menyangka dirinya bakal dinobatkan sebagai juara program realiti, Kilauan Emas Selebriti (KES) pada usia 72 tahun.
Menurut Jalaluddin, segala yang berlaku ibarat mimpi, apatah lagi hasrat untuk bergelar penyanyi sebenarnya sudah lama disimpan sejak kecil, namun rezekinya lebih memihak kepada bidang lakonan.


“Saya tidak sangka. Ia bagai mimpi. Saya tak pernah terfikir langsung akan terlibat di dalam program seperti ini. Pada usia 72 tahun, saya bergelar juara Kilauan Emas. Rasanya seperti main-main pula.
“Sejak kecil, saya memang berangan-angan untuk menjadi penyanyi. Namun, rezeki saya lebih kepada bidang lakonan.
“Saya selalu terbayang untuk mengadakan persembahan di majlis-majlis dan hadapan khalayak namun, tak pernah diberikan peluang,” katanya kepada MH.
Pelakon drama Kasih Yang Terkorban itu berkata demikian ketika ditemui pada malam kemuncak Kilauan Emas Selebriti yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam, pada Sabtu.

Dalam masa sama, Jalaluddin turut teruja apabila kemenangan berkenaan hadir bersama kontrak rakaman yang disifatkan sebagai peluang untuk dirinya mempelajari sesuatu yang baharu.

“Salah satu hadiah untuk program ini adalah kontrak rakaman, itu adalah sebuah lagu peluang buat saya untuk belajar sesuatu yang baharu.
“Saya pernah buat rakaman bersama Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab untuk lagu Sabar Menanti nyanyian asal Broery Marantika. Ketika rakaman memang seksa dan mencabar.
“Jangkaan arwah sangat tinggi sampai saya jadi takut dan tidak mahu lagi buat sesi rakaman. Namun, semangat itu masih ada. Kita tak boleh cepat mengalah.
“Bila Astro beri peluang seperti ini, banyak perkara yang perlu saya perbaiki,” ujarnya lagi.
Aura Penghibur Hadir Daripada Keikhlasan
Dikatakan memiliki aura sebagai seorang penghibur, Jalaluddin bagaimanapun menegaskan dirinya amat mementingkan keikhlasan dalam berkarya yang secara tidak langsung menaikkan serinya setiap kali membuat persembahan.


“Kata Cikgu Syafie, kelebihan saya adalah dari segi aura. Katanya, bila saya berjalan keluar sahaja, orang sudah terpegun. Malah, Cikgu Syafie juga minta saya beri tunjuk ajar kepada rakan-rakan lain tentang cara pembawakan diri.
“Saya tidak tahu kerana segalanya jadi secara semulajadi. Saya cuma ikhlas dengan diri sendiri. Apa sahaja yang kita buat, kita kena jaga budi pekerti. Itulah aura yang secata automatik jadi pakaian hidup kita.
“Bila kita ikhlas, orang suka tengok muka kita. Kita hormat orang dan tak buruk sangka, kita juga akan dihormati,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Jalaluddin turut menghargai sokongan luar biasa peminat yang menjadi nadi utama kepada kemenangannya dalam program ini.
Anda mungkin berminat dengan

“Pada saya, peminat adalah segala-galanya. Ketika sertai KES, ramai peminat tak sangka yang saya boleh menjadi penyanyi. Mereka hanya tahu saya berlakon sahaja.
“Namun, dari minggu pertama hingga ketiga, Zila Bakarin yang conquer semua. Peminatnya sangat ramai. Ketika minggu keempat, saya tak pernah terfikir cara untuk mengatasinya.
“Saya cuma buat hal saya sahaja. Saya perbaiki kualiti persembahan. Mungkin kelebihan saya ada pada gaya,” akhirinya.
Pada malam kemuncak Kilauan Emas Selebriti, Jalaluddin berjaya mengetepikan cabaran daripada lima finalis lain untuk dinobatkan sebagai juara.
Kemenangan tersebut membolehkan dramatis terkenal itu membawa pulang hadiah utama berupa sebuah trofi sumbangan Astro, emas edisi khas, pakej percutian dan hamper bernilai RM800 sumbangan pihak penaja.
Bukan setakat itu, Jalaluddin juga bakal menerima kontrak rakaman single bersama syarikat rakaman, Rocketfuel Entertainment.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

