
Pelakon dan pengacara, Ain Edruce berkongsi pengalaman yang tidak disangka apabila menyedari dia terbeli tiket perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain berharga RM8,000, sedangkan tiket itu hanya sah untuk satu hari.
Menurut Ain, dia sebenarnya tidak pernah meminati sukan permotoran berkenaan.
Namun, dia mengambil inisiatif membeli tiket tersebut sebagai kejutan buat suaminya, Amirul Hafiz, yang sememangnya meminati F1.
Ain pada masa sama mengakui dia tidak begitu arif mengenai harga tiket perlumbaan berkenaan sehingga tersalah anggap ketika membuat pembelian.


“Cerita dia, saya sebenarnya rasa macam kena scam, tetapi tiket itu memang saya dapat. Cuma, harganya melampau.
“Saya tahu ada orang beli tiket sekitar RM2,000 untuk satu tempat duduk dan saya pula kononnya nak ‘surprise’ suami.
“Saya memang tidak tahu sangat tentang sukan seperti F1 ini. Saya sendiri tak pernah minat F1, tetapi saya tahu suami saya memang meminatinya,” katanya kepada MH.
Ain berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert Cuckootopia dan AMT2026 yang berlangsung di Hotel Hyatt Regency, Kuala Lumpur, pada Khamis.
Ingat Tiket RM8,000 Untuk Tempat Duduk VVIP
Tambah Ain, ketika membuat pembelian, dia melihat pelbagai pilihan harga tiket menerusi sebuah laman web.
Jelasnya, dia menyangka tiket berharga RM8,000 itu menawarkan tempat duduk yang lebih istimewa sebelum mengambil keputusan untuk membelinya.


“Ketika itu, saya sedang mendapatkan urutan dan mahukan ketenangan. Saya tidak mahu pening kepala fikir sama ada tiket itu murah atau mahal.
“Jadi saya buka satu laman web dan melihat ada tiket berharga RM3,000, RM2,000, RM4,000 dan kemudian RM8,000.
“Saya fikir, harga itu tidaklah terlalu mahal, tetapi tidak juga murah.
“Saya sangka mesti tempat duduknya bagus, mungkin tempat duduk VVIP. Jadi, saya pun belilah,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, pengacara Melodi itu hanya menyedari kesilapannya selepas mengetahui tiket berharga RM2,000 sebenarnya membolehkan pemiliknya menonton perlumbaan selama tiga hari, sedangkan tiket yang dibelinya pada harga RM8,000 hanya untuk sehari.
“Rupanya, tiket RM2,000 itu untuk tiga hari, sedangkan saya beli tiket RM8,000 untuk sehari sahaja bagi tempat duduk grandstand.
“Sudah terbeli, nak buat macam mana? Suami saya memang gembira, tetapi dia pun kesiankan saya sebab RM8,000 itu jumlah yang besar.
Anda mungkin berminat dengan
“Apabila saya tahu ada orang jual tiket pada harga RM1,000 sahaja, saya cuma mampu telan air liur,” katanya.
Cuba Jual Semula Tiket, Tetapi Tiada Pembeli
Dalam pada itu, Ain dan suaminya turut mempertimbangkan untuk menjual semula tiket berkenaan bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar.
“Saya ada terfikir nak jual semula tiket itu. Saya beritahu kepada Amirul, kita cuba jual dahulu. Kalau tiada orang beli, barulah kita pergi.
“Namun, akhirnya memang tiada siapa yang beli,” jelasnya.
Terdahulu, Ain memuat naik satu hantaran video yang memaparkan reaksi suaminya ketika menerima kejutan tiket perlumbaan F1 yang dibelinya.
Bagaimanapun, momen tersebut bertukar menjadi lucu apabila Amirul terkejut selepas mengetahui isterinya membeli tiket berkenaan pada harga RM8,000.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

