
Pelakon Marsha Biddulph mengakui ada menangis dan membawa diri selama hampir dua minggu ketika menjalani penggambaran filem Pemuja Syaitan arahan Liyana Jasmay di Cherating, Pahang.
Menurut Marsha, pengalaman tersebut berlaku selepas dia ditegur dengan agak keras oleh Liyana ketika berada di set penggambaran.


“Saya pernah menangis di set. Ketika di Cherating, saya membawa diri selama dua minggu.
“Saya banyak belajar mengenai lakonan daripada Datuk Afdlin Shauki dan dia selalu berpesan supaya saya bertanya kepada pengarah mengenai apa yang dia mahu.
“Ini adalah kerana pemikiran seorang pelakon dengan pengarah tidak semestinya sama. Jadi perbincangan itu perlu,” katanya kepada MH.
Beranikan Diri Bertanya, Tak Sangka Liyana Tarik Rambut
Justeru, pelakon filem Tikus itu memberanikan diri bertanya kepada Liyana mengenai lakonannya ketika berada di set.
Bagaimanapun, dia tidak menyangka tindakan tersebut membawa kepada satu pengalaman yang agak mencabar apabila Liyana tiba-tiba tertarik rambutnya.


“Jadi, saya pergi bertanya kepada Liyana Jasmay dan dia tertarik rambut serta memarahi saya.
“Tetapi setakat itu sahaja. Selepas itu, apabila kami pergi makan, semuanya kembali seperti biasa,” ujarnya.
Liyana bagaimanapun menjelaskan tindakannya itu berlaku ketika dia sedang cuba mendapatkan ruang untuk berehat daripada kesibukan di lokasi penggambaran.
“Marsha memang jenis yang suka bertanya mengenai cara dia berlakon. Ada satu ketika itu, saya sedang mahu berehat dan cuba lari sekejap daripada orang lain.
“Tiba-tiba dia datang dan ajak saya masuk ke dalam kereta untuk berbincang mengenai dialog.
“Dia memang datang pada waktu yang tidak sesuai dan saya sendiri pun tidak sedar saya tertarik rambutnya,” selorohnya.
Gementar Tunggu Reaksi Penonton, Risau Digandingkan Dengan Zul Ariffin
Ditanya mengenai perasaan sebelum filem ditayangkan, Marsha mendedahkan dia agak gementar memikirkan penerimaan penonton terhadap lakonannya.


“Saya sangat gementar. Saya percaya kepada Liyana Jasmay kerana saya tahu dia sudah memberikan sepenuh komitmen dalam filem ini.
“Tetapi saya tetap gementar memikirkan lakonan saya kerana saya masih baharu dan banyak perkara yang perlu saya pelajari.
“Kalau hendak kata lakonan saya tidak bagus, tidak juga. Tetapi hendak kata bagus sangat pun tidak.
Anda mungkin berminat dengan
“Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza, jadi perkara itu yang membuatkan saya sedikit takut,” kongsinya.
Makah, apa yang lebih mencabar buat Marsha apabila dirinya digandingkan dengan Zul Ariffin yang disifatkan sebagai aktor handalan.
“Saya mempunyai beberapa babak bersama Zul. Dia tampak gah dan orang tahu dia pasti akan memberikan yang terbaik.
“Jadi sekiranya Zul memberikan persembahan yang sangat baik, kemudian saya pula kelihatan biasa-biasa sahaja, ia mungkin memberikan kesan yang kurang baik kepada saya.
“Lebih-lebih lagi saya baru hendak membina nama. Jadi, agak gementar mengenai perkara itu.
“Tetapi saya percaya teguran pengarah (Liyana Jasmay) di set juga adalah untuk membantu saya memberikan lakonan yang lebih baik di depan layar kaca nanti,” akhirinya.
Untuk rekod, Marsha merupakan salah seorang pelakon bagi filem genre seram Pemuja Syaitan arahan Liyana Jasmay yang bakal ditayangkan di pawagam mulai 15 Oktober depan.
Bintang lain yang turut membintangi filem ini termasuk Zul Ariffin, Nadhir Nasar, Elizabeth Tan serta ramai lagi.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

