
Pelakon dan usahawan, Datin Fouziah Gous meluahkan rasa syukur apabila akhirnya berjaya menjadikan khatam Al-Quran sebagai satu rutin dalam kehidupan.
Menurut Fouziah, sebelum ini dia merasakan dirinya terlalu sibuk dengan urusan bisnes dan kerja sehingga kurang memberikan perhatian terhadap pembacaan Al-Quran.
Lantaran itu, dia bertekad untuk merealisasikan impiannya mengkhatamkan Al-Quran buat kali pertama ketika berada di Mekah.

“Saya bukan seorang yang pandai. Sebelum ini, saya lebih kerap pergi ke Mekah berbanding membaca Al-Quran. Namun, setiap kali pergi umrah, antara doa yang wajib saya panjatkan adalah untuk khatam Al-Quran di hadapan Kaabah dan Madinah.
“Saya minta macam-macam doa daripada Allah SWT antaranya bisnes yang baik dan dimewahkan harta. Alhamdulillah ia dimakbulkan. Namun, satu doa yang belum termakbul adalah khatam Al-Quran itu.
“Jadi, sebelum fasa COVID-19, saya belajar bersama ustazah yang sepatutnya mengajar anak buah saya. Saya bekerja keras siang dan malam sehingga ‘pecah kepala’ demi bisnes. Apa pula usaha saya untuk baca Al-Quran?
“Ketika itu, saya sibuk dengan program Astro Go Shop dan hal-hal lain. Jadi, saya minta tolong dengan Ustazah dan mula membaca daripada Muqaddam. Daripada bacaan merangkak, Alhamdulillah saya khatam,” katanya kepada MH.
Pelakon drama Cinta Medik itu berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Khatam al-Quran, Bacaan Yasin dan Tahlil untuk Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, baru-baru ini.
Rasa ‘Manis’ Selepas Berjaya Khatam
Dalam pada itu, Fouziah mengakui pengalaman mengkhatamkan Al-Quran buat kali pertama memberikan satu kemanisan tersendiri buat dirinya, sekali gus mendorongnya untuk terus menjadikan amalan tersebut sebagai rutin sehingga kini.

“Bila kita pernah meminta bersungguh-sungguh dan ia dimakbulkan, kita dapat rasa kemanisan kejayaan itu. Perkongsian saya hanyalah untuk memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT.
“Saya dapat khatam dengan bacaan yang betul dan kesungguhan yang tinggi. Pertama kali saya khatam Al-Quran adalah pada bulan puasa dan hari Nuzul Quran.
“Saya syukur Allah kurniakan guru yang sentiasa ada bersama saya sehingga sekarang. Bila khatam, kita akan rasa gian. Jadi, saya teruskan sahaja rutin itu,” kongsinya lagi.
Bagaimanapun, Fouziah menyifatkan perkongsiannya mengenai rutin khatam Al-Quran di media sosial bukanlah bertujuan untuk meraih perhatian, sebaliknya sekadar mahu merekodkan perjalanan peribadinya bersama Al-Quran.
Anda mungkin berminat dengan

“Kebetulan, setiap kali bila saya khatam, saya akan buat catatan. Bila saya muat naik di media sosial, saya sebenarnya tiada niat nak menunjuk atau berkongsi kepada sesiapa.
“Saya buat hashtag itu untuk melihat kembali perjalanan Al-Quran saya. Tambahan pula, kita selalu berkongsi rutin kita, apa salahnya kita berkongsi benda baik pula.
“Jika satu hari nanti saya tiada lagi di dunia ini, nanti anak-anak saya dapat melihat rutin ibunya. Saya bukan buat untuk orang lain tapi untuk keluarga sendiri,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

