
Pelakon Sophia Albarakbah mengakui dirinya kini lebih gembira apabila dikenali menerusi hasil lakonan dalam drama dan filem berbanding kontroversi yang melibatkan kehidupan peribadinya.
Menurut Sophia, dia lebih selesa dengan perhatian yang diterima sepanjang tahun ini apabila namanya lebih banyak menjadi sebutan menerusi perkembangan kerjaya seni berbanding tahun sebelumnya.


“Saya lebih suka apabila orang mengenali saya menerusi drama dan filem lakonan. Dengan cara itu, saya rasa lebih gembira.
“Untuk tahun ini, saya rasa orang ramai lebih mengenali saya melalui kerjaya seni berbanding tahun sebelumnya.
“Saya tidak gemar apabila orang mengenali saya disebabkan perkara yang tiada kaitan dengan kerjaya, lebih-lebih lagi hal negatif yang melibatkan kehidupan peribadi.
“Jadi, saya lebih selesa dengan keadaan sekarang,” katanya kepada MH.
Sophia berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert Cuckootopia dan AMT2026 yang berlangsung di Hotel Hyatt Regency, Kuala Lumpur, pada Khamis.
Berehat Sebulan Selepas Sibuk Penggambaran
Dalam pada itu, pelakon drama Bukan Salahku itu memaklumkan dia kini sedang berehat seketika daripada aktiviti penggambaran selepas sibuk dengan komitmen lakonan sejak awal tahun.


“Saya sedang berehat sebentar dan Insya-Allah minggu depan saya akan kembali ke lokasi untuk sebuah projek drama terbaharu.
“Sebenarnya, saya sudah menjalani penggambaran sejak awal tahun. Jadi, memang merancang untuk berehat seketika, tidak lama pun, hanya sebulan.
“Sepanjang tempoh itu, saya banyak meluangkan masa bersama keluarga kerana apabila sibuk, memang agak sukar untuk kami menghabiskan masa bersama,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Sophia berpendapat setiap pelakon perlu mempunyai masa rehat yang mencukupi bagi mengelakkan keletihan melampau atau burnout akibat jadual kerja yang padat.
Malah, pelakon filem Amira Amir itu turut memanfaatkan waktu terluang untuk menguruskan hal peribadi, termasuk merancang perniagaan baharu yang bakal diusahakannya.
“Saya percaya semua pelakon memerlukan masa untuk berehat bagi mengelakkan burnout.
“Bukan sekadar berehat, masa itu juga boleh digunakan untuk menyelesaikan urusan peribadi termasuk merancang perniagaan yang sedang saya usahakan.
“Saya akan membahagikan masa sebaik mungkin serta memastikan kerjaya lakonan dan perniagaan dapat berjalan seiring,” jelasnya.
Anda mungkin berminat dengan
Pernah Berniaga Air Kelapa Di Bazar Ramadan
Mengulas lanjut, Sophia berkata dia sememangnya mempunyai minat dalam bidang perniagaan dan pernah berniaga di bazar Ramadan pada tahun lalu.


Justeru, dia merancang untuk kembali memberikan tumpuan terhadap bidang tersebut sebaik sahaja menyelesaikan komitmen penggambaran yang bakal dijalani selepas ini.
“Tahun lepas, saya pernah menjual air kelapa di bazar Ramadan. Jadi, sepanjang bulan puasa itu, saya mengambil masa untuk memberikan tumpuan kepada perniagaan.
“Insya-Allah, tahun ini saya sedang merancang satu lagi perniagaan baharu yang dijangka dilancarkan pada tahun depan,” kongsinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

