
Penyanyi, Idayu nekad mengambil tindakan undang-undang dengan menghantar notis tuntutan (LOD) terhadap netizen yang didakwa menghina ahli keluarganya menerusi platform media sosial.
Perkara itu tercetus selepas terdapat pihak yang dikatakan kurang senang dengan tindakan Idayu memberikan pandangannya mengenai persembahan barisan artis dalam sebuah pertandingan nyanyian, baru-baru ini.

Menurut Idayu, dia tidak kisah sekiranya pencapaiannya sebagai anak seni dipertikaikan.
Bagaimanapun, dia menyifatkan tindakan melemparkan kata-kata hinaan terhadap ahli keluarganya sebagai keterlaluan dan melampaui batas.

“Sejujurnya, yang sebut nama saya dekat Threads itu memang banyak. Tapi saya tak ambil peduli kalau setakat kritik kerjaya saya. Nak kata saya sendu atau kerjaya tak ke mana, tak mengapa.
“Namun, bagi mereka yang menghina serta caci maki saya dan keluarga, mereka sudah pun menerima LOD. Peguam saya sebenarnya sudah menghantar ratusan LOD,” katanya kepada MH.
Juara program Akademi Fantasia (AF) Megastar itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pra-dengar single duet terbaharunya bersama Adeep Nahar berjudul Bercanda Emosi, di Studio 21:05, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, pada Rabu.

20 Hingga 30 Individu Sudah Mohon Maaf
Susulan penghantaran notis tuntutan itu, Idayu mendedahkan dia sudah menerima permohonan maaf daripada beberapa individu yang kesal dengan tindakan mereka sebelum ini.

“Peguam saya sudah bergerak awal lagi selepas hantaran-hantaran itu dibuat. Ada yang maki dan hina fizikal. Ada juga yang kata saya gemuk dan muka buruk.
“Setakat ni, sudah ada 20 hingga 30 orang yang datang minta maaf secara peribadi lepas menerima LOD tu.
“Saya maafkan. Saya faham mungkin mereka terlalu sayangkan artis mereka sampai melampau batas.
“Saya pun ada peminat fanatik dulu, tapi saya nasihatkan mereka jangan cari pasal dengan orang lain,” ujarnya lagi.
Ditanya sama ada bakal meneruskan tindakan undang-undang tersebut, Idayu berkata pihaknya akan melihat perkembangan semasa memandangkan masih terdapat tuntutan baharu yang sedang diproses.
“Kita tengok nanti. Sekarang pun masih ada lagi tunturan-tuntutan yang baru masuk. Niat saya bukan nak gaduh, tapi nak bagi pengajaran supaya mereka jangan buli orang sesuka hati.
“Mulut itu kena jaga. Jangan ingat boleh maki orang sesuka hati selepas tu, lepas macam itu sahaja. Kena ada etika,” kongsinya lagi.
Pandangan Peribadi Sebagai Penyanyi & Guru Vokal
Mengulas lanjut, Idayu menjelaskan perkongsiannya di media sosial hanyalah pandangan peribadi dan tidak berniat untuk mempersoalkan kemampuan serta kredibiliti mana-mana artis.

“Rata-rata yang mengecam ini, mereka tidak mengenali saya. Saya sebenarnya sudah menjadi guru vokal selama 10 tahun. Tak mengapalah. Takkan saya nak paksa orang kenal saya pula.
Anda mungkin berminat dengan
“Namun, apa yang disuarakan itu adalah pandangan saya sendiri sebagai seorang penyanyi, guru vokal dan ‘vocal stylist’. Sudah tentu kita nak lihat pembaharuan.
“Ilmu-ilmu ini juga saya peroleh daripada orang-orang lama di dalam industri. Bila saya kata persembahan itu ‘lame’, bukan bermakna mereka kolot. Itu adalah stail lama.
“Mereka tak patut salah faham sehingga begitu sekali. Saya tak petik nama sesiapa pun pada ketika itu,” akhirinya.
Dalam perkembangan lain, Idayu dan Adeep kini berpadu suara menerusi lagu duet berjudul Bercanda Emosi.
Lagu bergenre R&B dan Urban Malay itu merupakan hasil nukilan bersama komposer terkenal, Helen Yap, dan penulis lirik, SlenFadzil.

Terdahulu, lagu Bercanda Emosi bakal dilancarkan di seluruh platform penstriman pada 21 Oktober ini.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

