
Pelakon Mierul Aiman yang kini tampil dengan imej rambut ‘blonde’ mendedahkan perubahan penampilan itu dilakukan bagi memenuhi tuntutan watak yang bakal dibawanya menerusi sebuah naskhah terbaharu tidak lama lagi.
Menurut Mierul, perubahan tersebut turut memberikan dimensi baharu kepada karakter berkenaan yang pastinya berbeza daripada penampilannya sebelum ini.

“Ketika ini, saya berada dalam penampilan yang baharu. Saya juga agak terkejut dengan penampilan ini. Namun, ini adalah tuntutan watak.
“Saya seronok untuk berkongsikan mengenai penampilan baharu saya ini kepada peminat dan penonton. Ia dibuat untuk mencipta sebuah karakter yang baharu,” katanya kepada MH.
Pelakon filem Tarung: Unforgiven itu berkata demikian ketika ditemui pada acara Meet & Greet Mierul Aiman x Dr. Cardin, baru-baru ini.

Terdahulu, Mierul merupakan antara selebriti yang terlibat dalam kempen ‘The Overlooked Malaysia’ yang diperkenalkan Dr. Cardin bagi mempromosikan lokasi percutian menarik di Malaysia yang jarang diterokai.
Teruja Eksperimen Dengan Karakter Baharu
Mengulas lanjut, Mierul berkata dia sememangnya teruja untuk bereksperimen dengan watak baharu yang disifatkan cukup unik dan menyeronokkan.
Malah, dia tidak sabar untuk berkongsi hasilnya dengan peminat dan penonton.

“Bila bercakap tentang karakter, sudah pasti ia menyentuh minat dan kesukaan saya. Saya tak sabar untuk berkongsi hidangan ini kepada kalian.
“Saya tak boleh berkongsi lebih mengenai naskhah ini. Ia sangat unik dan menyeronokkan. Kita akan berjumpa nanti,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai sambutan luar biasa terhadap siri Kudrat 1968: High Council, Mierul Aiman menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pasukan produksi yang bertungkus-lumus memastikan naskhah berkenaan berjaya dihasilkan dengan cemerlang.
Pada masa sama, dia turut memuji keunikan penceritaan yang berjaya menyentuh hati penonton.

“Alhamdulillah saya rasa sangat bersyukur dan dihargai. Namun, perkara utama yang perlu saya katakan, kita kena beri pujian kepada seluruh pasukan produksi Kudrat 1968: High Council.
“Setiap episod saya menonton dengan keluarga. Bila berada di dalam skrin, saya rasa sangat seronok bila dapat menonton bersama keluarga. Mereka bangga dengan kejayaan anaknya.
“Famili saya juga dapat melihat naskhah ini daripada kehebatan dan keunikan penceritaan penulis. Saya juga dapat rasakan penonton juga rasa dekat dengan penceritaan itu,” kongsinya lagi.
Anda mungkin berminat dengan
Harap Momentum Positif Terus Kekal
Dalam masa sama, Mierul berharap momentum positif yang diraih Kudrat 1968: High Council dapat diteruskan, sekali gus menyuntik semangat kepada penggiat industri kreatif untuk terus menghasilkan karya berkualiti yang mendapat tempat di hati penonton.

“Tahniah juga buat seluruh pasukan produksi yang sudah berikan yang terbaik sepanjang penggambaran. Inilah hasilnya bila kita berikan yang terbaik.
“Ia menjadi cerminan kepada kami untuk terus memberikan yang terbaik. Saya juga nak pinjam masa untuk ucap terima kasih kepada seluruh peminat dan penonton Kudrat 1968.
“Kami suka melihat suasana ini. Kami tak mau ia terhenti setakat ini sahaja. Saya mahu semangat ini berterusan untuk industri kreatif kita,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

