
Pelakon, Mila Mohsin mendedahkan dirinya tidak bimbang sekiranya watak Gusti Putri yang dibawakan dalam pementasan teater Puteri Gunung Ledang The Musical 2026 (PGLM2026) akan dibandingkan dengan pelakon asal yang juga ibunya, Puan Sri Tiara Jacquelina.
Menurut Mila, setiap pelakon mempunyai interpretasi dan pendekatan tersendiri dalam menghidupkan sesebuah watak, sekali gus memberikan pengalaman berbeza kepada penonton.
“Saya tidak risau jika dibandingkan dengan ibu. Nak kata siapa lebih baik dan tidak, kali ini watak Gusti Putri juga bakal dibawakan oleh Aisha Retno dan cara pembawakan kami memang berbeza.
“Cara persembahan saya dan ibu juga sangat berlainan. Kami akan membawakan warna-warna dan rasa yang baharu.
“Kita semua bertuah kerana dapat melihat Tiara Jaquelina membawakan watak sebagai Gusti Putri.
“Namun, apa yang dipaparkan itu hanyalah satu versi sahaja. Kita semua ada cara interpretasi yang berbeza bila membawakan sesebuah watak.
“Tugas saya adalah untuk menunjukkan sifat-sifat Puteri Gusti yang lain pula.
“Saya akan bawakan pengalaman dan cara fikir yang mungkin ibu saya tak dapat tunjuk sebelum ini. Aisha juga akan buat perkara yang sama,” katanya kepada MH.
Anak kepada pelakon Allahyarham Hani Mohsin itu berkata demikian ketika ditemui pada sesi latihan dan pratonton khas media di Enfiniti Academy, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Mila tidak menafikan, persamaan antara interpretasi dirinya dan Tiara Jacquelina dalam membawakan watak Gusti Putri tetap akan ada, memandangkan dia turut menjadikan persembahan ibunya sebagai salah satu rujukan.
“Persamaan itu memang akan ada. Saya tahu Gusti Putri versi ibu saya dan saya amat menyukainya.
Saya akan berusaha berikan penghormatan terhadap versi itu sebaik mungkin.
“Namun, saya tetap akan utamakan versi saya juga,” ujarnya lagi.



Baca Artikel Lain;
Mila Bakal Ikuti Langkah Ibu Bawa Watak Ikonik
Dalam masa sama, Mila akui tidak menyangka suatu hari nanti dirinya bakal diberikan penghormatan untuk membawakan watak ikonik berkenaan.
“Ketika menonton pementasan teater PGLM yang pertama, usia saya dalam lapan tahun. Saya tak pernah bayangkan yang satu hari nanti saya akan bawakan watak Gusti Putri ini.
“Saya bertuah kerana dapat melihat karakter ini bukan sahaja di atas pentas tapi juga di rumah.
Anda mungkin berminat dengan
“Saya dapat rasakan energi, aura dan frekuensinya. Saya dapat ‘connect’ dengan frekuensi itu. Tidak semua orang dapat rasainya.
“Hal ini tidak boleh dipaksa. Frekuensi itu akan cari kita sendiri selagi kita terbuka untuk menerimanya. Itu yang saya rasa. Bukan saya yang mencari frekuensi itu,” akhirinya.
Selain Mila dan Aisha, PGLM edisi 2026 turut menampilkan Aqasha sebagai Hang Tuah, Luqman Hafidz sebagai Sultan Melaka dan Yusof Hashim sebagai Gusti Adipati, manakala Mimi Fly dan Nadia Aqilah berkongsi watak Bayan.
PGLM bakal dipentaskan dari 31 Oktober hingga 15 November ini di The Grand Theatre, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre, Sunway Square.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

