
Penyanyi dan usahawan, Mila Jirin mengakui masih berasa gugup menjelang konsert minggu pertama Gegar Vaganza 13 (GV13) yang bakal berlangsung pada 8 November ini, meskipun baru sahaja membuat kemunculan semula menerusi pelancaran single terbaharunya, Cukup Sudah Cukup.
Menurut Mila, kemunculan semula tersebut tidak dianggap sebagai satu kelebihan besar kerana dia sebelum ini lebih banyak membuat persembahan di pentas berskala kecil, sekali gus mengakui pengalaman itu berbeza berbanding beraksi di pentas besar seperti GV13.

“Tak dinafikan, bila kita sudah biasa buat persembahan di atas pentas, dia akan buat kita rasa kurang gemurah. Namun, saya pun bukanlah terlalu aktif dalam bidang nyanyian.
“Saya juga ada rasa gugup untuk berada di pentas sebesar GV13 ini. Sebelum ini, saya banyak menyanyi di dewan acara saya sahaja.
“Perasaannya pasti lain. Program ini pula akan dipancarkan secara langsung di seluruh negara. Sekarang pun saya sudah mula rasa debarannya. Doakanlah saya,” katanya kepada MH.
Mila yang popular menerusi lagu Persis Mutiara berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media GV13 baru-baru ini.
Peluang GV13 Hadir Tepat Pada Masanya
Dalam pada itu, Mila meluahkan rasa syukur apabila peluang menyertai GV13 hadir tepat pada masanya ketika dia sedang merancang untuk membuat kemunculan semula dalam bidang nyanyian.

Malah, penyertaan tersebut turut membuka ruang buatnya memperkenalkan semula diri kepada generasi muda yang mungkin lebih mengenalinya sebagai seorang usahawan.

“Alhamdulillah susunan Allah itu sangat cantik. Bila saya merancang untuk keluarkan album, Allah hadiahkan saya platform GV13. Perjalanan itu selari. Tak dinafikan generasi-generasi muda tak kenal siapa Mila Jirin.
“Mereka hanya panggil saya Kakak Bizmilla. Setidaknya saya boleh bagitahu kepada mereka, selain daripada bergelar usahawan, saya juga penyanyi. Jadi, bolehlah saya jumpa peminat baharu,” kongsinya.
Mila turut mengakui teruja apabila peluang beraksi di pentas GV13 bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya, malah menghubungkannya kembali dengan peminat lama yang pernah menyokongnya ketika menyertai Akademi Fantasia musim kelima (AF5).

“Mereka ini sangat comel. Mereka sendiri yang hubungi saya di platform media sosial. Sejujurnya kelab peminat saya yang lama pun sudah tiada lagi. Hampir 10 tahun saya berada di dalam gua.
“Bila kita nak aktifkan semula, dapatlah rasa muda semula,” ujarnya.
Mahu Tebus Kekecewaan, Sedia Hadapi Kritikan Juri
Mila turut menyifatkan penyertaannya dalam GV13 sebagai peluang untuk menebus kekecewaan selepas tersingkir awal ketika menyertai program Akademi Fantasia Megastar pada 2017.
Mengimbas kembali pengalaman tersebut, Mila menjelaskan keadaan dirinya ketika itu kurang mengizinkan kerana baru sahaja tiga bulan melahirkan anak menerusi pembedahan caesarean (czer).

“Ketika itu, saya sepatutnya tidak boleh menyertai program itu. Saya baru sahaja tiga bulan melahirkan anak dan menjalani pembedahan c-zer.
Anda mungkin berminat dengan
“Sejujurnya ketika itu saya tidak boleh menyanyi. Bagi yang melahirkan anak secara pembedahan, mereka pasti tahu yang tenaga kita terbatas,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, Mila menegaskan dirinya sudah bersedia untuk berhadapan dengan segala kritikan sepanjang menyertai GV13. Malah, dia menganggap setiap teguran yang diterima sebagai ruang untuk memperbaiki kelemahan diri.

“Saya memang lahir daripada program realiti. Jadi, kita sudah terbiasa untuk mendengar apa sahaja kata juri. Kita kena hadam dan perbaiki setiap kelemahan.
“Jadi, saya tidak merasakan ketakutan itu. Namun, kali ini, kita ada juri tambahan daripada orang luar. Saya kena persiapkan mental dan fizikal.
“Saya percaya tidak semua orang punyai pendapat yang sama. Saya cuma nak menikmati masa-masa saya di atas pentas. Apa sahaja komen juri, saya akan jadi gelas yang kosong untuk terima apa sahaja input yang terbaik,” akhirinya.
Terdahulu, GV Fantasia bakal bersiaran bermula 8 November ini menerusi saluran Astro Ria, Astro Go dan sooka.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

