
Persaingan All Star Influencers Award (ASIA) 2026 dilihat semakin sengit apabila lebih 120 pempengaruh dari 20 negara tampil dengan kandungan digital yang lebih berkualiti, kreatif dan menarik.
Selain Malaysia, antara negara yang terlibat dalam ASIA 2026 termasuk Indonesia, Thailand, Kemboja, Rusia, Jepun, Uzbekistan serta beberapa negara lain.
Menurut Pengasas ASIA, Datuk Abd Rahman Soltan, peningkatan kualiti kandungan serta komitmen yang ditunjukkan peserta menjadikan proses pemilihan pemenang bagi setiap kategori semakin mencabar.


“Jika kita lihat tahun ini, persaingan memang lebih sengit. Ramai influencer baharu yang pertama kali menyertai ASIA dan mereka bersaing bersama influencer yang sudah berpengalaman.
“Apa yang lebih menarik, kualiti video dan komitmen yang diberikan juga sangat bagus. Jadi, untuk menentukan pemenang bagi setiap kategori bukan sesuatu yang mudah,” katanya kepada MH.
Abd Rahman berkata demikian ketika ditemui pada sidang media All Star Influencers Award 2026 yang berlangsung di Studio 38, Kota Damansara, baru-baru ini.
Persaingan Sengit, 13 Kategori Dipertandingkan
Sejak diperkenalkan pada 2023, ASIA menyaksikan pemenang datang daripada pelbagai negara apabila Ahieb Reborn dari Indonesia muncul juara edisi pertama, diikuti Saal Haerid dari Indonesia pada 2024 dan Cindy dari Vietnam pada tahun lalu.
Sebanyak 13 kategori dipertandingkan tahun ini, termasuk Best Gourmet Story Award, Best Storyteller Award dan Best Culture Curator Award.
Dalam masa sama, Abd Rahman berkata kepelbagaian kategori tersebut membuka ruang kepada peserta untuk menyerlahkan identiti dan kekuatan masing-masing menerusi kandungan yang dihasilkan.


Malah, perjalanan ASIA2026 disusun menerusi beberapa siri jelajah ke destinasi berbeza di Malaysia sebagai usaha mempromosikan negara melalui platform digital.
Perjalanan ASIA2026 meliputi beberapa lokasi termasuk Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur, Terengganu, Pahang, Langkawi, Pulau Pinang dan Perlis sebelum trip terakhir ke Sabah.
“Program ini bukan sekadar pertandingan influencer.
“Kita mahu mereka mengenali Malaysia dengan lebih dekat melalui pengalaman sebenar, termasuk aktiviti, makanan dan kebudayaan yang ada di setiap destinasi.
“Semua pengalaman ini kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk kandungan digital untuk diperkenalkan kepada pengikut mereka di seluruh dunia,” jelasnya.
#AllStarInfluencersAward2026 Cecah Lebih 500 Juta Tontonan
Dalam perkembangan sama, sambutan terhadap kandungan ASIA2026 di platform digital dilihat memberangsangkan apabila tanda pagar #AllStarInfluencersAward2026 kini merekodkan lebih 500 juta tontonan.

Anda mungkin berminat dengan

“Angka itu sangat positif dan kita menjangkakan jumlah tontonan digital akan terus meningkat dari semasa ke semasa sepanjang program ini berlangsung.
“Ini menunjukkan kandungan yang dihasilkan peserta bukan sahaja mendapat perhatian di Malaysia, tetapi turut membuka peluang untuk memperkenalkan destinasi dan pengalaman Malaysia kepada tontonan antarabangsa,” ujarnya.
Untuk rekod, ASIA2026 mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia, khususnya dalam usaha mempromosikan Malaysia bersempena kempen Visit Malaysia 2026.
Bagi pemenang Best Influencers, hadiah yang ditawarkan tahun ini adalah wang tunai sebanyak AS$10,000, selain pakej percutian ke luar negara.
Malam gala ASIA2026 dijangka berlangsung pada Oktober depan yang bakal menjadi kemuncak kepada perjalanan peserta yang berentap untuk merebut pengiktirafan tersebut.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

