
Ada warganet yang mengkritik gara-gara mengenakan baju-t yang tertera tulisan ‘Pemuja Syaitan’, pengarah dan pelakon, Liyana Jasmay menjelaskan dia dan barisan pelakon lain tidak mempunyai sebarang maksud tersirat.
Sebaliknya, gimik tersebut merupakan sebahagian daripada strategi untuk memperkenalkan judul terbaharu filem berkenaan kepada umum.
Menurut Liyana, apa yang dilakukan sejak awal hanyalah usaha untuk mencetuskan perhatian terhadap filem berkenaan, terutama selepas judul asalnya, Sujud Syaitan ditukar.

“Kiranya marketing kita menjadi, Alhamdulillah. Apa yang kami buat daripada awal hanyalah untuk memberitahu tentang tajuk filem ini.
“Sebenarnya, sejak daripada tahun lepas, saya sudah pun mempromosikan filem ini dengan tajuk Sujud Syaitan.
“Ketika saya diminta untuk mengubah tajuk, saya sudah buntu. Saya agak bengang dan sakit hati. Saya tak tahu macam mana caranya nak perkenalkan tajuk baharu.
“Jadi, saya rancang untuk perkenalkan filem ini secara biasa dahulu. Saya nak tahu sama ada orang perasan atau tidak,” katanya kepada MH.
Gimik T-Shirt Jadi Perhatian
Dalam masa sama, Liyana tidak menyangka gimik berkenaan berjaya menarik perhatian ramai sehingga ada dalam kalangan peminat yang mula meminta agar t-shirt tersebut dijual kepada umum.

“Saya yang rancang untuk buat baju itu. Malah. saya juga yang reka sendiri. Rekaan baju itu diambil daripada tulisan di poster filem Pemuja Syaitan. Saya tidak mahu buat rekaan yang berlebihan.
“Mulanya saya tempah sedikit sahaja. Kami pakai ketika acara promosi filem ini yang pertama. Sehari selepas kami muat naik gambar di media sosial, ramai yang kata kami promosi filem seperti pertunjukan fesyen.
“Bila orang mula bercakap, itu bermakna gimik ini sampai ke perhatian dan masuk ke ‘for your page’ (fyp) mereka. Kemudian kami cetak lagi baju ini. Algoritma di media sosial juga makin menaik.
“Di semua tempat promosi yang kami hadir, kami pakai t-shirt ini. Kami hanya nak orang bercakap. Apa yang kami nak sampaikan, sebenarnya kami nak tukar tajuk sahaja,” ujarnya lagi.
“Kami Maafkan Semua Orang.”
Sementara itu, Liyana memaklumkan dirinya terbuka menerima segala kritikan yang dilemparkan, terutama apabila ada pihak yang menyifatkan tulisan pada t-shirt berkenaan sebagai kurang sesuai dan mengundang salah faham.

“Saya sedih bila kena tukar tajuk. Saya risau jika ada yang keliru. Saya sampai menangis bila hal ini berlaku. Alhamdulillah ketika ini ramai yang tahu tentang filem ini.
Anda mungkin berminat dengan
“Segala kecaman yang diterima, kami okay sahaja. Mungkin itu hanyalah sekadar perbualan dan mereka tak tahu hal sebenar. Mereka fikir apa yang mereka nak fikir sahaja.
“Kami tak boleh kawal apa yang mereka fikir. Kami tahu yang kami hanya mempromosikan filem. Orang keliling kami pun tahu niat kami. Apa yang mereka bayangkan, itu terpulang kepada mereka.
“Saya tak marah pun. Kami maafkan semua orang,” akhirinya.
Terdahulu, filem Pemuja Syitan bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 15 Oktober depan.
Filem berkenaan menampilkan Zul Ariffin sebagai pelakon utama yang turut dibarisi pelakon utama lain seperti Nadhir Nasar dan Aila Azizul.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

