
Pengarah dan pelakon, Liyana Jasmay mengakui tidak berkecil hati dengan pengakuan Elizabeth Tan yang sebelum ini meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kualiti lakonannya menerusi filem terbaharu, Pemuja Syaitan.
Menurut Liyana, perasaan sedemikian disifatkankan sebagai perkara biasa dalam kalangan anak seni yang sentiasa mahu memberikan persembahan terbaik menerusi setiap karya yang dijayakan.


“Salah satu sebab saya memilih dia untuk membintangi filem ini adalah kerana saya tahu dia mempunyai kemampuan tersebut.
“Saya langsung tidak marah kerana saya rasa perkara itu normal bagi seorang pelakon. Saya sendiri pernah melalui fasa yang sama sebelum ini.
“Sebagai anak seni, apabila kita menjayakan sesuatu projek, pasti ada perkara yang membuatkan kita rasa boleh lakukan dengan lebih baik atau ada kesilapan yang boleh kita perbaiki.
“Bagi saya, itu merupakan proses biasa dalam industri seni. Jadi, saya tidak kisah,” katanya kepada MH.
Liyana berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana filem Pemuja Syaitan di TGV Cinemas, Suria KLCC, pada Rabu.
Puas Hati Dengan Lakonan Elizabeth
Bagaimanapun, pelakon filem Papadom itu menegaskan dia berpuas hati dengan lakonan Elizabeth yang berjaya membawakan watak mengikut apa yang dimahukannya.


“Sejujurnya sebagai pengarah, saya sangat berpuas hati dengan lakonan dia.
“Sepanjang penggambaran, dia selalu bertanya sama ada lakonannya sudah cukup baik atau sebaliknya.
“Saya akan beritahu dia, lakonannya sudah bagus. Kalau ada perkara yang saya tidak suka, saya akan terus beritahu.
“Semua orang di set penggambaran pun mengetahui perkara itu. Sejak awal lagi, saya sudah jelaskan kepadanya mengenai nada dan arah lakonan yang saya mahukan.
“Jadi, apabila saya sudah berpuas hati, itu bermakna dia berjaya membawakan wataknya seperti yang saya inginkan.
“Bagi saya, hala tuju lakonannya sudah tepat dan tiada sebarang masalah,” jelasnya lagi.
Hubungan Rapat Buat Elizabeth Selesa Berkongsi Perasaan
Dalam pada itu, Liyana berkata hubungan persahabatan yang terjalin antara mereka turut membolehkan penyanyi lagu ‘Police Entry’ itu untuk berasa lebih selesa untuk berkongsi perasaan serta pandangannya secara terbuka.

Anda mungkin berminat dengan

“Mestilah dia boleh berkongsi apa-aoa dengan saya kerana kita sama-sama perempuan.
“Kami juga tidak mempunyai jurang usia yang jauh, jadi hubungan kami memang seperti kawan.
“Sebab itu, dia selesa untuk meluahkan apa yang dirasakannya kepada saya,” ujarnya.
Terdahulu, Elizabeth mengakui kecewa dengan hasil lakonannya sendiri selepas merasakan persembahannya tidak mencapai tahap memuaskan di dalam karya tersebut.
Selain Elizabeth, filem Pemuja Syaitan arahan Liyana Jasmay itu turut dibintangi Zul Ariffin, Alia Azizul, Nadhir Nasar dan ramai lagi.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

