
Penyanyi Tomok, meluahkan rasa teruja apabila diberi peluang menghiburkan masyarakat Temerloh, menerusi Fiesta Tun Teja yang bakal berlangsung pada 6 hingga 8 November 2026 di Dataran Temerloh, Pahang.
Festival anjuran Majlis Tindakan Sosial Pahang di bawah seliaan APRESIASI PAHANG 1st itu bertujuan mengangkat budaya dan warisan negeri Pahang, selain menyatukan pemimpin serta rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, berkata peluang bertemu peminat secara dekat menerusi persembahan pentas merupakan satu rezeki yang sentiasa disyukurinya.
“Alhamdulillah, pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak penganjur sebab sudi jemput saya untuk sama-sama memeriahkan Fiesta Tun Teja ni.
“Mestilah saya rasa seronok dan teruja sebab dapat jumpa dan menghiburkan orang Temerloh,” katanya.
Menurut Tomok, festival seumpama itu bukan sekadar menawarkan hiburan, malah turut berperanan mengeratkan hubungan masyarakat tanpa mengira usia, bangsa dan latar belakang.
“Muzik sendiri pun sebenarnya satu medium yang boleh menyatukan orang.
“Jadi saya rasa program macam Fiesta Tun Teja ni memang patut diteruskan sebab selain memberi hiburan, ia juga dapat menghidupkan suasana komuniti dan memberi peluang kepada masyarakat untuk meluangkan masa bersama keluarga,” ujarnya lagi.
Seru Generasi Muda Hargai Warisan Budaya
Dalam masa sama, Tomok turut mengingatkan generasi muda supaya tidak melupakan budaya dan identiti sendiri meskipun terdedah kepada pengaruh moden serta trend antarabangsa.
“Pada saya, generasi muda kena ambil peluang untuk kenal dan belajar tentang warisan serta budaya kita sendiri. Sebab kalau bukan kita yang nak hargai dan teruskan, siapa lagi?” katanya.
Penyanyi lagu Buah Hati ini turut menggalakkan golongan muda menghadiri festival berkenaan bagi mengenali keunikan warisan negeri Pahang dengan lebih dekat.
“Jangan malu untuk kenal budaya sendiri. Datanglah ke festival macam ni, tengok, belajar dan hayati keunikan warisan yang kita ada.
“Sebab warisan ni bukan sekadar cerita zaman dulu, tapi sesuatu yang kita kena jaga supaya generasi akan datang pun dapat mengenalinya,” jelasnya.


Baca Artikel Lain;
Anda mungkin berminat dengan
Barisan Artis Popular, Pelbagai Aktiviti Menarik Menanti
Selain Tomok, acara berkenaan turut menampilkan barisan artis popular tanah air seperti Ella, Haqiem Rusli, Khai Bahar, Siti Nordiana dan Datuk Ameng Spring selain ramai lagi penghibur yang bakal memeriahkan pentas.
Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan untuk pengunjung, antaranya pameran warisan, Tun Teja Run, sukaneka serta aktiviti seni solekan bersama jurusolek profesional (MUA) anak Pahang.
Lebih menarik, pengunjung berpeluang memenangi pelbagai hadiah menerusi cabutan bertuah, termasuk kereta, motosikal, basikal dan barangan elektrik.
Dengan mengetengahkan nilai kekuatan, semangat, kepimpinan dan kesetiaan, Fiesta Tun Teja diharap dapat menjadi platform untuk menyemarakkan rasa bangga terhadap warisan negeri, selain mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Orang Temerloh dan seluruh rakyat Pahang dijemput hadir memeriahkan Fiesta Tun Teja pada 6 hingga 8 November ini di Dataran Temerloh, sambil menikmati persembahan artis kegemaran.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

