
Selepas hampir 26 tahun, konsert tradisional Gema Bumantara mencipta sejarah tersendiri apabila menemukan semula dua legenda irama tradisional, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris di pentas keramat Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam tadi.
Lebih bermakna, pertemuan semula itu turut membuka ruang buat Noraniza untuk merakamkan penghargaan kepada pihak CTDK Global Venture dan SN Legacy yang merealisasikan hasratnya untuk kembali sepentas dengan Siti.

“Saya nak ambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada CTDK Global Venture dan SN Legacy yang telah sudi memberikan laluan kepada saya untuk sepentas dengan Siti,” katanya kepada MH.
Selepas 26 Tahun, Siti & Noraniza Imbau Kenangan
Sementara itu, Siti menyifatkan persembahan mereka membawa makna yang cukup besar, bukan sahaja buat industri seni, malah kepada pencinta muzik tanah air yang sudah lama menantikan momen tersebut.

“Kalau Noraniza tidak setuju perkara ini tidak akan jadi. Terima kasih juga kerana kesudian Noraniza yang memberikan makna yang cukup besar kepada pencinta muzik tanah air.
“Di pentas yang besar ini, Noraniza harus ada untuk menyanyikan lagu ‘berhantu kita’. Sudah lama kita tidak bernyanyi bersama-sama. Hampir 26 tahun.
“Masa ketika itu tidak memberikan kita kesempatan. Kali ini, ini adalah momen terbaik,” kongsinya.
Pada malam bersejarah itu, dua bintang hebat berkenaan berpadu suara menerusi lagu malar segar, Dondang Dendang dan Hati Kama, sekali gus menggegarkan suasana stadium dengan sorakan peminat.
Siti turut mengimbau kembali momen ikonik apabila dia dan Noraniza pernah mempersembahkan lagu Dondang Dendang di acara berprestij Sukan Komanwel 1998 di SNBJ.

“Kami pernah buat persembahan bersama-sama menerusi lagu Dondang Dendang ini di atas pentas rebana ubi gergasi di Sukan Komenwel Kuala Lumpur 1998.
“Di stadium ini jugalah. Malam ini kami kembali lagi di stadium ini, ujarnya.
Sementara itu, dalam nada sebak, Noraniza berharap agar Siti terus memperjuangkan irama tradisional supaya legasi muzik warisan itu kekal subur dan terus mendapat tempat di hati generasi akan datang.

“Siti, jangan berhenti dan teruskan legasi Irama Malaysia kita,” katanya.
Malah, Siti turut merakamkan penghargaan kepada penyanyi lagu Dikir Puteri itu kerana menjadi inspirasi kepada seluruh penyanyi irama tradisional di negara ini selama ini.
“Terima kasih kerana menjadi idola untuk ramai penyanyi irama tradisional di Malaysia termasuklah saya,” kongsinya lagi.
63,000 Penonton Saksikan Kehebatan Irama Tradisional
Konsert yang menghimpunkan kira-kira 63,000 penonton itu turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Siti, penganjuran konsert berskala besar itu membuktikan bahawa irama tradisional tempatan mampu berdiri sama tinggi dengan genre muzik lain, termasuk dari luar negara.
View this post on Instagram
Anda mungkin berminat dengan
“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, inilah yang ingin saya tonjolkan kepada semua yang hadir bahawa irama tradisional kita tidak kalah dengan irama-irama yang lain yang ada termasuk irama luar negara.
“Kita patut mengangkat irama dan budaya kita sendiri. Irama budaya kita begitu hebat untuk dipentaskan dipentaskan di pentas yang sangat besar.
“Malam ini, ia tidak akan berlaku tanpa sokongan mereka yang sama-sama menyokong apa yang saya usahakan,” kongsinya.
Terdahulu, konsert tradisional Gema Bumantara berlangsung meriah meskipun dibasahi hujan. Penonton tetap setia memenuhi stadium demi menyaksikan persembahan istimewa yang meraikan keagungan irama tradisional tanah air.
Siti turut memukau penonton menerusi persembahan bertenaga dengan rangkaian lagu ikoniknya seperti Cindai, Ya Maulai, Balqis, Nirmala, Kesuma dan Rencong, sekali gus menghangatkan suasana dengan alunan muzik tradisional yang cukup dekat di hati peminat.
Selain Noraniza, konsert tradisional Gema Bumantara turut digamatkan dengan kemunculan artis jemputan, Haziq Rorsebi serta dua bintang popular Indonesia, King Nassar dan Lesti Kejora, yang menambah kemeriahan malam menerusi persembahan bertenaga masing-masing.
Siti turut mencipta momen istimewa apabila menaiki beca mengelilingi Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dalam suasana hujan, dengan beca berkenaan dipandu oleh pelakon yang semakin meningkat naik, Zarif Ghazzi.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

