
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menitipkan pesanan kepada segelintir warganet agar tidak terus memanjangkan perselisihan antara dua pihak yang sudah memilih untuk saling memaafkan dan berdamai.
Menerusi satu hantaran di Instagram Story (IGs), Siti berpendapat setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, terutama apabila emosi mengatasi pertimbangan sehingga mencetuskan salah faham.


“Setiap manusia ada khilaf. Ada waktunya emosi mendahului pertimbangan, dan sebuah hubungan diuji dengan salah faham.
“Namun apabila dua insan yang berselisih sudah memilih untuk saling memaafkan, di situlah seharusnya cerita itu berhenti, bukan terus dipanjangkan oleh mereka yang berada diluar,” tulisnya.
Islam Mengajar Umatnya Mengutamakan Perdamaian
Dalam pada itu, Siti turut mengingatkan Islam mengajar umatnya untuk mengutamakan perdamaian dan bukannya mencari pihak yang bersalah dalam sesuatu perselisihan.


“Indahnya Islam, kita tidak diajar untuk mencari siapa yang menang dalam sebuah perselisihan.
“Kita diajar untuk mencari jalan kembali kepada perdamaian.
“Meminta maaf tidak menjadikan seseorang itu rendah. Memaafkan pula tidak menjadikan seseorang itu kalah.
“Kedua-duanya memerlukan keberanian dan kebesaran hati,” kongsinya lagi.
Dalam hantaran sama, penyanyi lagu Bukan Cinta Biasa itu menyeru orang ramai agar tidak mudah menghakimi apabila individu yang terlibat sendiri sudah berdamai.
Malah, Siti berharap agar semua dapat memberikan ruang kepada mereka yang pernah berselisih untuk memperbaiki hubungan.


“Dan apabila mereka yang terlibat sendiri sudah berdamai, mungkin tugas kita bukan lagi untuk menghakimi, mengungkit atau memilih pihak.
“Cukuplah kita mendoakan agar yang keruh kembali jernih, yang terluka kembali sembuh, dan silaturahim yang pernah diuji menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
“Kita juga tidak pernah tahu bila kita sendiri akan berada dalam keadaan yang sama.
“Tersalah kata, tersalah faham, kemudian berharap diberi ruang untuk memperbaiki keadaan.
“Yang sudah bermaafan, jangan kita adu-adukan lagi. Yang sudah berdamai, jangan kita nyalakan kembali apinya.
Doa Agar Silaturahim Terus Terpelihara
Mengakhiri perkongsian, ibu kepada dua cahaya mata itu turut menitipkan doa agar setiap individu sentiasa menjaga tutur kata dan memelihara hubungan sesama manusia.
Anda mungkin berminat dengan


“Semoga Allah menjaga tutur kata kita, melembutkan hati kita dan memelihara persaudaraan sesama kita.
“Kerana akhirnya, menjaga silaturahim jauh lebih indah daripada memenangkan sebuah perselisihan,” akhirinya.
Terdahulu, Izara mendakwa pasukan penyanyi Indonesia, Lesti Kejora, bersikap kurang mesra terhadap dirinya ketika Konsert Gema Bumantara Siti Nurhaliza pada Sabtu lalu.
Perkara itu dikongsikan Izara menerusi hantaran di aplikasi Threads miliknya.
Bagaimanapun, Izara dan Lesti telah memohon maaf secara terbuka atas kekurangan masing-masing.
Sebelum ini, Lesti menjadi antara artis undangan yang membuat persembahan pada konsert berkenaan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

