
Peminat seni suara tanah air di wilayah Utara bakal disajikan dengan persembahan berskala intim dan eksklusif menerusi showcase Nyawa by Black Hanifah yang dijadualkan berlangsung di Grand Alora Hotel, Kedah, November depan.
Acara yang dinanti-nantikan itu menjanjikan sebuah pengalaman penceritaan visual dan audio yang membawa penonton menyelusuri perjalanan seni Black Hanifah, selain mengimbau deretan karya terbaik sepanjang kerjaya penyanyi berkenaan.
Selepas kejayaan penganjuran di lokasi pertama, Kedah secara rasmi dipilih sebagai destinasi kedua bagi siri showcase berkenaan.
Pemilihan ini bukan sahaja menjadi tanda penghargaan terhadap sokongan luar biasa peminat di wilayah Utara, malah turut mencerminkan inisiatif bermakna untuk mengangkat martabat anak kelahiran Kedah yang berjaya mencipta nama dalam industri hiburan.
Penganjuran di Kedah juga bakal menjadi platform pengenalan rasmi konsep Nyawa kepada khalayak sebelum siri jelajah berkenaan diteruskan ke lokasi lain di seluruh negara.

Baca Artikel Lain;
Pengalaman Lebih Eksklusif
Nyawa by Black Hanifah dianjurkan khusus dengan kapasiti penonton yang terhad bagi mewujudkan suasana lebih peribadi dan eksklusif.
Pendekatan itu membolehkan peminat berinteraksi secara langsung dengan penyanyi berkenaan, menghayati emosi di sebalik setiap bait lirik, selain mendengar sendiri perkongsian jujur mengenai kisah jatuh bangun sepanjang perjalanan seninya.
Lebih daripada sekadar persembahan muzik, showcase ini turut menjadi pentas utama untuk Black Hanifah memperkenalkan karya-karya terbaharunya secara eksklusif kepada peminat setia.
Memacu Ekonomi, Pelancongan & Kerjasama Strategik
Selain meraikan seni muzik, penganjuran acara ini turut dirangka bagi memberikan impak positif terhadap landskap sosioekonomi tempatan.
Sehubungan itu, pihak penganjur menggariskan lima objektif utama menerusi penganjuran showcase berkenaan.
Antaranya ialah memartabatkan bakat tempatan dengan mengangkat serta meraikan nama artis kelahiran Kedah di pentas yang lebih berprestij.
Acara ini juga bertujuan merancakkan sektor pelancongan dan hiburan dengan menjadi daya tarikan baharu bagi segmen pelancongan acara (event tourism) di negeri berkenaan.
Anda mungkin berminat dengan
Selain itu, Nyawa by Black Hanifah menyasarkan usaha menyediakan platform hiburan bertaraf tinggi dan profesional untuk masyarakat daripada pelbagai lapisan, di samping menjadi pemangkin ekonomi setempat menerusi penjanaan aktiviti ekonomi serta peluang perniagaan kepada komuniti sekitar lokasi acara.
Penganjuran ini turut membuka ruang kepada jalinan kerjasama strategik yang lebih dinamik dan menguntungkan antara sektor korporat dengan pemain industri kreatif.
Membawa kelainan daripada persembahan biasa, showcase intim ini menyasarkan kehadiran lebih 800 penonton berusia antara 18 hingga 45 tahun.
Kumpulan sasaran itu merangkumi peminat setia Black Hanifah, golongan belia dan profesional muda, rakan media tempatan serta nasional, barisan selebriti dan pempengaruh, selain tokoh korporat serta kenamaan negeri.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

