
Pelakon, Ruhainies nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa menyebarkan fitnah dan tohmahan melampau sehingga menjejaskan nama baik serta reputasinya.
Sehubungan itu, Ruhainies melantik dua peguam, iaitu Mohd Haizal Ayop daripada firma guaman EzriLaw Firm dan Fakhrul Azman Abu Hasan daripada Azainie & Fakhrul, bagi mengendalikan tindakan undang-undang selanjutnya berhubung perkara berkenaan.

Mohd Haizal berkata, pihaknya sudah mengenal pasti tiga individu untuk tindakan awal, manakala usaha mengesan individu lain yang dipercayai turut terbabit dengan dakwaan sama masih diteruskan.
Menurutnya, pihaknya diarahkan anak guam untuk mengeluarkan notis tuntutan (LOD) kepada tiga individu berkenaan, dengan tempoh tujuh hari diberikan untuk memenuhi tuntutan yang dikemukakan.

“Anak guam kami berhasrat menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta daripada setiap individu, tidak termasuk apa-apa relif lain yang mungkin dipohon dan dibenarkan oleh mahkamah,” katanya kepada MH.
Mohd Haizal berkata demikian ketika ditemui pada sidang media bersama peguam yang berlangsung di Restoran Cili Kampung, Sri Hartamas, Kuala Lumpur, pada Selasa.
Jelasnya, Ruhainies juga sudah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pada Ahad lalu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang didakwa terbabit.

“Ruhainies sendiri sudah memberikan beberapa nama individu terbabit kepada pihak polis. Kami menjangkakan pihak polis akan mengambil tindakan lanjut dan memanggil mereka untuk memberikan keterangan.
“Setakat ini, kami sudah mengenal pasti kira-kira tiga individu dan masih berusaha mendapatkan nama-nama lain.
“Kemungkinan jumlahnya akan bertambah kerana perkara ini bukan sahaja membabitkan nama Ruhainies, tetapi turut melibatkan individu lain,” katanya lagi.
Tuntut Permohonan Maaf Terbuka, Bakal Failkan Saman Jika Ingkar
Mengulas mengenai tuntutan yang bakal dikemukakan, Mohd Haizal menegaskan, pihaknya akan meminta individu terbabit bertanggungjawab terhadap hantaran yang diterbitkan, selain menurunkan atau memadamkan kandungan berkenaan.
Mereka turut dituntut memberikan akur janji untuk tidak lagi menerbitkan hantaran berkaitan Ruhainies, selain membuat permohonan maaf secara terbuka tanpa sebarang syarat.

“Ketiga-tiga individu berkenaan dikehendaki membuat permohonan maaf secara terbuka (public apology) di semua laman social dengan syarat-syarat dan terma-terma yang dipersetujui oleh anakguam kami.
“Selain itu, mengadakan satu sidang media dengan menjemput anak guam kami dan wakil media arus perdana bagi tujuan menyampaikan permohonan maaf secara terbuka dan tanpa bersyarat kepada anak guam kami secara bersemuka,” katanya.
Bagaimanapun, sekiranya tuntutan berkenaan tidak dipenuhi dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini, pihaknya akan meneruskan tindakan dengan memfailkan saman sivil di mahkamah.
Seorang lagi peguam yang mewakili Ruhainies, Fakhrul Azman, berkata pihak polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, siasatan berkenaan berkaitan dakwaan fitnah serta penyebaran kandungan palsu, jelik dan mengancam.

“Kami difahamkan, dalam beberapa hari lagi, individu yang diadukan akan dipanggil untuk memberikan keterangan di Balai Polis Dang Wangi. Kami juga akan mengemukakan maklumat berkaitan dua lagi individu yang sudah dikenal pasti.
“Sebenarnya, kami mempunyai dokumen berkaitan termasuk gambar dan bahan lain, tetapi tidak mengemukakannya pada hari ini,” katanya.
Anda mungkin berminat dengan
Fakhrul berkata, pihaknya memandang serius penyebaran dakwaan berkenaan kerana perkara itu bukan sahaja menjejaskan reputasi anak guamnya, malah turut mengaitkannya dengan individu lain yang juga figura awam.
Menurutnya, komen negatif yang ditinggalkan pengguna di platform Threads seolah-olah menggambarkan Ruhainies mempunyai hubungan dengan beberapa individu berkemampuan dari segi kewangan, sedangkan dakwaan itu disifatkannya sebagai tidak benar.
Berdasarkan semakan yang dilakukan, hantaran berkenaan sudah dikongsi semula kira-kira 209 kali, menerima sekitar 1,400 perkongsian dan meraih tontonan sehingga 2.7 juta.
Ruhainies Mahu Buktikan Keseriusan, Dakwaan Disifatkan Fitnah
Sementara itu, Ruhainies berkata, dia sudah beberapa kali berdepan dakwaan seumpama itu sebelum ini dan pada awalnya cuba menjelaskan keadaan dengan membuat penafian menerusi media.

“Beberapa hari lalu, saya menjadi mangsa fitnah. Namun, perkara ini sebenarnya bukan baharu kerana sebelum ini saya pernah berdepan situasi sama.
“Sebelum ini, saya cuba menafikan dakwaan berkenaan menerusi media. Bagaimanapun, apabila saya membuat penafian, ada pihak yang seolah-olah menganggapnya tidak serius dan berpendapat sesiapa sahaja boleh membuat penafian.
“Jadi, sekarang saya merasakan sudah tiba masa untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menunjukkan keseriusannya dalam terhadap isu ini serta menegaskan bahawa dakwaan berkenaan hanyalah tuduhan dan fitnah,” katanya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

