
Belum sempat dipromosikan menerusi kempen berskala besar di Malaysia, Cukup Sudah Cukup iaitu lagu kedua daripada album baharu Mila Jirin yang dijadualkan dilancarkan pada penghujung tahun ini mula mendapat tempat di Indonesia.
Single berkenaan kini kerap diputarkan di beberapa stesen radio utama negara itu, termasuk Gen FM dan Prambors FM.
Perkembangan tersebut memberi petanda positif kepada perjalanan baharu Mila yang kini bukan sahaja mahu membina semula momentum muziknya di Malaysia, malah mula memperkenalkan karya dan vokalnya kepada pendengar Indonesia.
Berbeza daripada pelancaran single pertamanya, Tersimpan Dalam Hati, Cukup Sudah Cukup tidak disertai dengan sidang media atau acara pelancaran khas di Malaysia.
Sebaliknya, lagu itu diedarkan untuk pasaran Malaysia dan Indonesia sebagai sebahagian daripada strategi memperkenalkan secara berperingkat karya-karya daripada album baharu Mila kepada pendengar di kedua-dua negara.
Bagi Mila, apabila Cukup Sudah Cukup mula mendapat putaran di radio Indonesia, ia merupakan satu perkembangan yang cukup bermakna, lebih-lebih lagi ketika beliau masih berada pada peringkat awal membina pengenalan di pasaran tersebut.
“Saya sangat bersyukur apabila dimaklumkan ‘Cukup Sudah Cukup’ sudah mula dimainkan di beberapa stesen radio di Indonesia termasuk Gen FM dan Prambors FM.
“Saya sedar perjalanan saya di Indonesia masih terlalu awal. Ramai mungkin belum mengenali siapa Mila Jirin, jadi apabila lagu dan suara saya terlebih dahulu diberikan ruang untuk didengarkan di sana, bagi saya itu satu permulaan yang sangat bermakna,” katanya.
Kolaborasi Jakarta Buka Langkah Baharu
Cukup Sudah Cukup merupakan hasil kolaborasi Mila bersama komposer Indonesia, Ilham Baso, manakala lirik dihasilkan oleh Aisah Rizky.
Keseluruhan proses produksi audio lagu tersebut dilakukan di Jakarta, merangkumi aransemen muzik, rakaman vokal, pengarahan vokal, mixing dan mastering.
Kerjasama itu menjadi antara langkah awal Mila untuk membina jaringan kreatif di Indonesia sambil mencari warna dan perspektif baharu untuk album yang sedang dipersiapkan.
“Kerjasama dengan Ilham Baso bermula daripada muzik. Saya sukakan cara beliau memahami emosi sesebuah lagu dan bagaimana sesuatu melodi boleh dibawa supaya lebih dekat dengan pendengar.
“Daripada situ saya melihat ada ruang untuk saya meneroka lebih banyak kolaborasi di Indonesia. Fokus saya bukan untuk datang dengan cerita siapa saya di Malaysia, tetapi saya mahu pendengar di sana mengenali saya melalui lagu dan nyanyian terlebih dahulu,” jelas Mila.

Baca Artikel Lain;
Muzik Video Turut Dirakam Di Jakarta
Melengkapkan perjalanan Cukup Sudah Cukup, muzik video rasmi lagu tersebut turut menjalani penggambaran sepenuhnya di Jakarta pada pertengahan Ogos lalu.
Muzik video itu dihasilkan oleh Bizmedia Marketing bersama pasukan produksi Indonesia dan diarahkan oleh Wahyu Taufani Prialangga, sekali gus meneruskan kesinambungan kolaborasi kreatif Malaysia–Indonesia yang dibawa menerusi projek tersebut.
Muzik video rasmi Cukup Sudah Cukup kini boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music.
Lagu tersebut juga boleh didengarkan menerusi semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan platform digital lain.
Mila Ke Jakarta & Bandung Oktober Ini
Momentum di Indonesia akan diteruskan apabila Mila dijadualkan memulakan siri pertama jelajah radio di Jakarta dan Bandung pada Oktober ini.
Kunjungan tersebut akan menjadi antara sesi pengenalan secara langsung Mila bersama stesen-stesen radio dan media di Indonesia, selain membuka peluang untuk beliau berkongsi dengan lebih dekat mengenai Cukup Sudah Cukup serta perjalanan muzik baharunya.
Bagi Mila, langkah itu perlu dilakukan secara konsisten dan bukan sekadar bergantung kepada pengedaran lagu secara digital.
“Saya mahu pergi sendiri dan bertemu dengan radio serta media di sana. Saya mahu memperkenalkan muzik saya secara perlahan-lahan dan membina hubungan dengan mereka.
“Saya tidak meletakkan sasaran untuk terus dikenali dalam masa yang singkat. Saya mahu bina perjalanan ini dengan betul. Kalau pendengar Indonesia mula mengenali Mila Jirin melalui lagu dan suara terlebih dahulu, itu sudah menjadi satu permulaan yang sangat baik untuk saya,” katanya.
Menuju Album Baharu Hujung Tahun
Cukup Sudah Cukup merupakan lagu kedua daripada album baharu Mila Jirin yang dijadualkan dilancarkan pada penghujung tahun ini.
Album tersebut menandakan fasa baharu perjalanan muzik Mila selepas kembali aktif dalam dunia rakaman dan bakal menghimpunkan beberapa karya serta kolaborasi melibatkan tenaga kreatif dari Malaysia dan Indonesia.
Anda mungkin berminat dengan
Single pertama, Tersimpan Dalam Hati, menjadi pembuka kepada perjalanan tersebut, manakala Cukup Sudah Cukup memperlihatkan perkembangan seterusnya dengan strategi pengedaran dan promosi yang turut memberi tumpuan kepada pasaran Indonesia.
Bagi Mila, usaha tersebut bukan bermakna meninggalkan pasaran Malaysia, sebaliknya membawa karya muziknya ke ruang yang lebih luas.
“Malaysia akan sentiasa menjadi rumah saya dan tempat perjalanan seni saya bermula. Tetapi saya percaya muzik kita mempunyai ruang yang lebih luas untuk bergerak di rantau ini.
“Album ini sangat penting kepada saya kerana ia menandakan satu fasa baharu selepas sekian lama. Saya mahu setiap lagu mempunyai perjalanan dan ceritanya sendiri. Kalau ‘Cukup Sudah Cukup’ menjadi antara lagu yang membuka pintu perjalanan saya di Indonesia, saya sangat bersyukur,” katanya.
Cukup Sudah Cukup menampilkan Mila Jirin sebagai penyanyi, dengan Ilham Baso sebagai komposer dan Aisah Rizky sebagai penulis lirik. Lagu ini diterbitkan oleh Ailis Mustapha, manakala produksi muzik dikendalikan oleh Bizmedia Marketing dan pengedaran digital menerusi Nova Music.
Lagu tersebut boleh didengarkan menerusi Spotify, Apple Music, YouTube Music dan platform penstriman digital utama, manakala muzik video rasmi boleh ditonton menerusi YouTube Nova Music.
Mila Jirin merupakan penyanyi Malaysia yang telah berkecimpung dalam industri hiburan selama lebih dua dekad.
Selepas memberikan tumpuan kepada bidang keusahawanan selama beberapa tahun, Mila kini kembali aktif dalam industri muzik menerusi rangkaian karya baharu yang bakal membawa kepada pelancaran album terbaharunya pada penghujung tahun ini.
Fasa baharu perjalanan muziknya turut menyaksikan Mila memperluaskan jaringan kolaborasi bersama tenaga kreatif dari Malaysia dan Indonesia serta mula memperkenalkan karya-karyanya kepada pasaran serantau.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

