
Penyanyi dan komposer, Aina Abdul bakal mempertaruhkan lagu terbaharunya, ‘Bluest Sky’ yang diciptakan khas untuk pertandingan nyanyian antarabangsa, Eurovision Asia di Thailand pada November depan.
Menurut Aina atau nama lengkapnya, Nurul Aina Abdul Ghani, lagu Bluest Sky memberikan cabaran berbeza buat dirinya apabila proses menyiapkan karya berkenaan mengambil masa jauh lebih lama berbanding kebiasaannya ketika berada di studio.
Katanya, tempoh tersebut diperlukan bagi memastikan setiap elemen dalam lagu itu benar-benar menepati standard pertandingan antarabangsa, sekali gus mampu membawa identiti muziknya dan Malaysia dengan sebaiknya di pentas Eurovision Asia.

“Memanga agak sukar untuk menyiapkan lagu Bluest Sky ini. Sudah lama saya tidak rasa begini. Proses penulisan sebenarnya lebih mudah berbanding rakaman.
“Ketika menulis, saya ada satu perasaan yang terbuku di hati. Tetapi semasa merakam, ia melibatkan emosi yang berbeza kerana saya perlu menjiwai watak itu.
“Kesukarannya adalah semasa rakaman. Saya ingat lagi rakaman dari pagi sampai malam tidak selesai, yang mana itu adalah tempoh terlama bagi saya,” katanya kepada MH.
Aina berkata demikian ketika ditemui pada acara pra-dengar single Bluest Sky yang berlangsung di Rex KL, Kuala Lumpur pada Khamis.
Ambil Masa 10 Jam Untuk Dapatkan Bunyi Yang Tepat
Tambah penyanyi lagu Kamu itu, kebiasaannya dia mampu menyelesaikan proses rakaman sesebuah lagu dalam tempoh sekitar dua jam.
Namun, pengalaman berbeza dilaluinya ketika merakamkan Bluest Sky yang memerlukan tempoh lebih panjang bagi memastikan setiap elemen lagu berkenaan benar-benar mencapai standard yang diharapkan.

“Biasanya saya suka siapkan dalam masa dua jam, tetapi untuk lagu ini saya ambil masa kira-kira 10 jam. Saya berpindah studio dari Seremban ke KL semata-mata kerana tidak mendapat bunyi yang betul.
“Walaupun kedengaran indah, di sebaliknya banyak liku dan cabaran. Kesukarannya adalah untuk menyanyikannya. Lagu ini ‘besar’ dan tiada ruang rehat.
“Untuk Eurovision, durasinya mestilah tepat tiga minit. Umum tahu saya suka buat persembahan yang lebih masa, sampai empat atau lima minit.
“Jadi cabarannya adalah untuk mencurahkan segala emosi marah, cinta dan sedih dalam tempoh tiga minit itu. Ia adalah perkara paling sukar buat saya, tetapi alhamdulillah kami berjaya,” ujarnya.
Sebulan Fokus Persiapan Eurovision
Dalam pada itu, Aina mendedahkan dia memperuntukkan kira-kira sebulan untuk memberikan sepenuh perhatian terhadap persiapan Eurovision selepas selesai menyertai Anugerah Juara Lagu (AJL).

Anda mungkin berminat dengan
Malah, dia mengakui tempoh tersebut menyaksikan dirinya banyak berjaga malam kerana memikirkan tanggungjawab besar yang digalas.
“Boleh tahan, dalam sebulan juga. Memang tidak tidur malam. Selepas AJL, otak saya memang fikir Eurovision sahaja.
“Tanggungjawab saya besar kali ini dan saya rasa gementar seperti pertama kali masuk AJL dahulu. Ada rasa teruja dan debaran yang sama,” tambahnya.
Terdahulu, pertandingan Eurovision Asia dijadualkan bakal berlangsung di Thailand pada 14 November depan.
Aina merupakan penyanyi yang terpilih selepas berjaya memenangi kategori Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), baru-baru ini.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

