
Pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd. Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz mengambil keputusan untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap seorang pemilik akaun media sosial, susulan dakwaan fitnah yang melabel dirinya sebagai penunggang agama.
Peguam yang mewakili PU Riz, Faizal Rahman berkata, kenyataan yang dimuat naik individu berkenaan mengandungi tuduhan serius sehingga berpotensi mencemarkan reputasi anak guamnya.

“Istilah penunggang agama ini adalah label yang sangat berat.
“Jika disebut dalam konteks filem, mungkin tiada isu, tetapi apabila dilontarkan kepada individu yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan memiliki tauliah daripada pejabat mufti, ia merupakan satu fitnah yang amat nyata.
“Sehingga kini, hantaran tersebut mencatatkan jumlah tontonan sebanyak 9.2 juta dalam tempoh yang sangat singkat.
“Perkara ini perlu disekat segera bagi mengelakkan reputasi anak guam saya terus terjejas,” katanya kepada MH.
Faizal berkata demikian ketika ditemui pada sidang media yang berlangsung di pejabat Faizal Rahman & Co, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Serah LOD, Beri Tempoh 48 Jam; Tuntut Pampasan RM1 Juta
Menurut Faizal, pihaknya telah menyerahkan Notis Tuntutan (LOD) kepada individu terbabit semalam dengan memberikan tempoh 48 jam untuk memadam hantaran berkenaan, membuat permohonan maaf secara terbuka serta tidak lagi mengungkit perkara tersebut.
Katanya lagi, pihaknya turut menuntut pampasan sebanyak RM1 juta sebagai pengajaran kepada masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah atau menyalahgunakan algoritma media sosial demi kepentingan peribadi.

“Kita sudah menyerahkan LOD semalam dan memberikan tempoh 48 jam untuk individu berkenaan membuat permohonan maaf. Mungkin ada yang beranggapan tempoh itu singkat, tetapi jumlah tontonan hantaran berkenaan meningkat mendadak sehingga 9.2 juta dalam masa yang singkat.
“Sehingga kini, kami masih belum menerima sebarang maklum balas. Jika tuntutan itu gagal dipenuhi, kami akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan di mahkamah.
“Individu ini dikesan mengambil kesempatan terhadap algoritma isu semasa untuk meraih perhatian. Sebelum ini, hantarannya hanya mendapat sekitar dua hingga lima tanda suka, namun apabila nama PU Riz dipetik, jumlah tontonan melonjak sehingga jutaan.
“Malah, individu itu turut mengaitkan anak guam saya dengan isu pihak lain yang langsung tidak berkaitan serta menyebarkan maklumat tidak benar kononnya acara di Johor baru-baru ini merupakan majlis agama berbayar, sedangkan ia hanyalah sesi ramah mesra (meet and greet),” katanya.
Anda mungkin berminat dengan
PU Riz Tampil Bawa Dokumen Kelayakan Pendidikan, Tauliah Mengajar
Sementara itu, PU Riz yang turut hadir pada sidang media berkenaan menunjukkan dokumen asal kelayakan pendidikannya, termasuk ijazah dalam pengajian agama daripada Open University Malaysia (OUM) serta sijil pentauliahan mengajar agama yang diperoleh dari Wilayah Persekutuan, Perlis, Kelantan dan Sarawak.

Terdahulu, pembatalan sebuah acara anjuran Nunha di Johor mencetuskan kekecohan di media sosial apabila timbul dakwaan dan salah faham bahawa sesi ramah mesra (meet and greet) berkenaan merupakan program agama.
Susulan itu, PU Riz menjadi sasaran kecaman warganet apabila didakwa tidak mempunyai kelayakan untuk mengajar agama, sekali gus dilabel sebagai penunggang agama.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!


