
Pelakon dan penyanyi, Elizabeth Tan mengakui dirinya masih bergelut dengan perubahan hormon meskipun sudah hampir dua bulan menjalani prosedur persenyawaan in vitro (IVF).
Menurut Elizabeth atau lebih mesra disapa Lizzy, dia pada awalnya menyangka segala kesan selepas menjalani prosedur tersebut akan kembali pulih dalam tempoh sebulan.
Bagaimanapun, sehingga kini dia masih berdepan beberapa perubahan pada tubuh termasuk masalah jerawat serta emosi yang tidak menentu.


“Saya ingat saya sudah okay sebab sudah mula menjalani prosedur IVF sebulan yang lalu. Jadi saya ingat semuanya sudah selesai.
“Tetapi sehingga hari ini, sudah hampir dua bulan dan saya masih bergelut dengan masalah hormon. Hormon dalam badan saya masih belum stabil.
“Saya masih mengalami banyak jerawat dan ada banyak kesan parut yang perlu saya tutup dengan solekan,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Police Entry yang bakal muncul menerusi filem terbaharu, Pemuja Syaitan itu berkata demikian ketika ditemui di NU Ideaktiv, Shah Alam pada Selasa.
Karya genre seram terbitan Mermaid Studios itu bakal menemui penonton secara eksklusif pada 15 Oktober depan.
Akui Emosi Turut Terjejas
Mengulas lanjut, Elizabeth turut mengakui keadaan hormonnya memberi kesan terhadap emosinya sehingga ada ketika dia berasa seperti bukan dirinya sendiri.
Malah, Elizabeth juga kini memberi lebih perhatian terhadap pemakanan selain cuba mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.


“Selain itu, mood saya juga agak tidak menentu. Kadang-kadang saya bangun dan saya rasa seperti bukan diri saya sendiri.
“Saya boleh jadi cepat marah, tiba-tiba menangis walaupun tiada apa-apa masalah dan tiba-tiba rasa sangat sedih.
“Tetapi saya tahu ia disebabkan hormon kerana saya sebenarnya bukan begitu. Biasanya saya sangat stabil.
“Saya sedang cuba makan dengan sangat sihat supaya badan saya boleh pulih dan kembali normal,” ujarnya.
Kongsi Pengalaman Untuk Bantu Orang Lain
Ditanya mengenai mengapa memilih untuk berkongsi perjalanan IVF secara terbuka, Elizabeth menganggap perkara itu sebagai satu proses yang tidak perlu disembunyikan.
Dalam pada itu, Elizabeth berpendapat perkongsian tersebut dapat membantu mereka yang melalui proses sama.
Anda mungkin berminat dengan


“Saya tak rasa ia sesuatu yang patut disembunyikan atau dirahsiakan. Kalau kita beritahu orang, lebih ramai yang boleh mendoakan kita.
“Lebih ramai juga yang boleh melalui perjalanan ini bersama-sama kita dan memberikan nasihat. Sebab itu saya suka berkongsi.
“Mungkin ada orang di luar sana yang sedang melalui perkara sama seperti saya tetapi mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
“Kalau mereka mahukan nasihat daripada saya, saya sangat gembira untuk berkongsi pengalaman dengan sesiapa sahaja,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

