
Juri tetap merangkap maestro muzik, Datuk Ramli MS mengakui kurang berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan barisan peserta pada saingan minggu kedua Gegar Vaganza Fantasia (GVF), malam tadi.
Menurut Ramli, keputusan yang diraih peserta minggu ini membuktikan mereka perlu bekerja lebih keras bagi memastikan persembahan yang ditampilkan lebih meyakinkan dan berkualiti.
“Saya tak puas hati dengan prestasi minggu ini. Kami tidak akan beri kelonggaran soal markah. Bayangkan seorang juara AF boleh dapat markah 37%. Ia tak masuk akal.
“Paling tinggi pun markahnya adalah 67%. Kalau markah sebegitu di musim-musim terdahulu, anda mungkin berada di kedudukan keempat.
“Kelompok atasan biasanya akan peroleh markah 75% sehingga 80%. Namun, saya percaya pada minggu-minggu akan datang, mereka akan ada banyak progress. Itu hal yang saya paling suka dengan mereka,” katanya kepada MH.
Ramli berkata demikian ketika ditemui selepas berakhirnya konsert minggu kedua GVF yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.
Shahir Diminta Segera Bangkit
Dalam pada itu, Ramli turut meluahkan rasa terhadap persembahan penyanyi, Shahir yang disifatkan terlalu gemuruh ketika berada di atas pentas.
Malah, beliau menjelaskan markah 37% yang diberikan merupakan pencapaian terendah sepanjang 13 musim penglibatannya sebagai juri tetap program berkenaan.
“Jika anda lihat semula, saya tidak pernah bagi markah serendah 37% dalam sejarah GV. Jika ada yang tersingkir pun, markah mereka adalah 52% atau 53%.
“Kami memang tidak akan berkompromi. Kita bagi markah bedasarkan apa yang kami dengar. Ketika rehearsal, persembahannya jauh lebih baik.
“Saya ada bersama selama tiga hari. Bila ada di antara mereka yang ada rasa gemuruh atau badi di atas pentas, ia akan menarik keluar keyakinan mereka sehingga 30%.
“Bila adanya ‘badi’ pentas itu, kita akan hilang kawalan. Saya faham perkara itu kerana pentas GV ini sangat besar.
“Bila mereka menyayi, kita boleh tahu mereka berada di tahap mana,” ujarnya lagi.
Ramli berharap Shahir dapat segera bangkit dan kembali mendapatkan kekuatan diri bagi meneruskan saingan bersama peserta lain.
“Persembahannya memang di bawah par. Jika mereka buat persembahan yang ‘biasa-biasa’, mungkin mereka akan selamat. Kalau persembahannya di bawah par, kita memang tak boleh nak buat apa-apa.
“Kalau nak cerita soal perincian markah, mungkin tak perlu. Anda boleh dengar sendiri bagaimana dia menyanyi malam tadi. Kalau dalam auditorium, mungkin anda tak perasan.
“Jika melalui televisyen, anda akan terdengar jelas,” katanya lagi.

Baca Artikel Lain;
Kehadiran Empat Peserta Hot ‘Seats’
Mengulas mengenai empat peserta menerusi segmen ‘hot seats’ yang berjaya diserap masuk, iaitu Akim Ahmad, Ara Johari, Felix dan Farah, Ramli berpandangan penyertaan mereka bakal menjadikan persaingan GVF lebih menarik.
Anda mungkin berminat dengan
“Itu pilihan pengundi. Kami tidak terlibat langsung. Bila saya lihat siapa yang masuk, ia sangat menarik. Malam tadi, suara Akim sangat mantap tapi dia menyanyikan lagunya sendiri.
“Bila menyanyikan lagu orang, kisahnya lain. Kita boleh nampak hal itu terjadi kepada Mila. Bila bawakan lagu orang lain, posisinya jatuh dari kedudukan minggu lepas. Macam-macam boleh jadi,” akhirinya.
Terdahulu, Stacy sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila berjaya meraih markah tertinggi untuk dua minggu berturut-turut.
Selain Ramli, barisan juri GVF turut dibarisi dua nama besar dalam industri muzik, iaitu Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang.
GVF berlangsung selama 11 minggu secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam, bermula 9 November lalu, setiap Sabtu, pukul 9 malam menerusi Astro Ria (104).
Program berkenaan juga boleh distrim menerusi On Demand, Astro GO dan Sooka.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!


