
Pelakon Zara Zya akui kini lebih selesa menjalani kehidupan sederhana dan tidak lagi menjadikan barangan berjenama sebagai keutamaan.
Sebaliknya, dia memilih untuk lebih mengutamakan simpanan serta perancangan kewangan demi menjamin masa depan.
Menurut Zara atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd Zainuddin, dia kini tidak kisah mengenakan pakaian berharga berpatutan dan tidak menafikan pernah melalui fasa terlalu seronok berbelanja, khususnya ketika menerima bayaran lumayan hasil kerjayanya sebagai anak seni.
“Bagi saya perkara ini bukan untuk selebriti sahaja, tetapi untuk semua orang untuk belajar berjimat dan berhemah dalam berbelanja. Bila kita senang, kita mungkin terlalu seronok berbelanja tanpa fikir panjang. Itu juga yang berlaku pada saya dahulu.
“Bila bergelar artis dan dapat bayaran sekaligus dalam jumlah yang banyak, kita mula rasa hendak beli beg tangan mewah, alat solek, baju berjenama dan sebagainya.
“Sekarang ini saya okey saja beli baju di TikTok yang berharga RM10 misalnya. Bila orang tengok artis pakai baju sama, mereka akan pertikaikan seolah-olah kita tiada baju lain, jadi kita terpaksa beli baru,” katanya.
Bintang berusia 41 tahun itu berkata demikian ketikan ditemui pada majlis Grand Opening Cindai Gold Palace di Horizon Square Sepang, Selangor, baru-baru ini.
Menerusi majlis pelancaran dan pembukaannya, pembeli berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk hadiah utama sebuah kereta BMW model G30 530, motosikal serta hadiah iringan lain.
Dalam pada itu Zara juga akui dia kini lebih cenderung menyimpan wang dan melabur emas kerana menganggapnya sebagai salah satu persediaan kewangan untuk masa hadapan.
“Kalau dahulu sibuk hendak barangan berjenama mewah dari hujung rambut ke hujung kaki, padahal semua itu tidak mendatangkan sebarang faedah melainkan keseronokan sementara sahaja.
“Akhirnya bil tetap kita yang kena bayar dan beg yang kita beli itu pun bukan senang hendak dijual semula.
“Tetapi kalau kita simpan emas atau melabur, duit itu akan berkembang dan boleh dikeluarkan bila-bila masa. Itulah yang sebenarnya akan membuatkan kita tersenyum pada masa hadapan,” katanya lagi.



Pengalaman Sakit Buka Mata, Bil Hospital Cecah Ratusan Ribu
Pada masa sama, Zara tidak menafikan pengalaman berdepan masalah kesihatan turut membuka matanya tentang kepentingan mempunyai simpanan dan perlindungan insurans.
Katanya, dia pernah mempunyai tiga polisi insurans dengan bayaran ribuan ringgit setiap bulan sebelum mengambil keputusan mengurangkannya kepada satu polisi sahaja.
Bagaimanapun, pengalaman menerima bil rawatan hospital yang mencecah ratusan ribu ringgit membuatkan dia lebih menghargai kepentingan perlindungan tersebut.
“Bila jatuh sakit dan mahukan rawatan di hospital yang selesa, saya terkejut melihat bil rawatan mencecah ratusan ribu ringgit. Mujurlah insurans yang ada masih mampu menampungnya.
“Apatah lagi bila pernah berada dalam fasa sakit yang sangat membimbangkan, ia benar-benar menyedarkan saya tentang pentingnya simpanan demi kelangsungan hidup pada masa hadapan.
“Hakikatnya tiada siapa yang akan tolong kita melainkan diri sendiri, jadi tidak kira tua atau muda, kita memang wajib menyimpan,” katanya lagi.
Baca Artikel Lain;



Sasar Buka 10 Cawangan Menjelang 2027
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Cindai Gold Palace, Dato’ Sri Haji Zainal Omar optimis melantik Zara Zya bagi projek promosi selain pengunjung turut berpeluang memiliki koleksi barangan kemas terkini dengan variasi rekaan moden dan eksklusif.
Anda mungkin berminat dengan
Mengulas pemilihan Horizon Square, Sepang sebagai lokasi cawangan pertama Cindai Gold Palace, Zainal menjelaskan kedudukan strategik serta lokasinya yang berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi antara faktor utama.
Dalam pada itu, pihaknya turut menegaskan Cindai Gold Palace mengutamakan pematuhan terhadap standard yang ditetapkan pihak berkuasa serta aspek integriti dalam menjalankan perniagaan emas.
“Komitmen penuh terhadap kelulusan dan pematuhan standard garis panduan pihak berkuasa termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Majlis Perbandaran Sepang, serta agensi-agensi kerajaan berkaitan.
“Kami juga mengutamakan soal integriti, tadbir urus yang telus serta pematuhan undang-undang sebagai teras perniagaan,” katanya yang turut menyambut baik sistem pembelian emas secara digital yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat ketika ini.
“Insya-Allah selepas ini, kami menyasarkan pembukaan sehingga 10 buah cawangan baharu menjelang 2027 menerusi perniagaan francais, bermula dari negeri Johor.
“Kami bakal menawarkan program francais berkonsepkan penyediaan 5 kilogram emas serta sokongan lengkap persediaan premis perniagaan emas bersama rakan niaga atau pemegang francais,” katanya lagi.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
View this post on Instagram
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!


