
Penyanyi, Iman Troye mengakui lebih selesa menyerahkan urusan kewangan kepada ibunya sejak mula menceburi bidang seni ketika berusia 16 tahun, selain menyifatkan segala rezeki yang dimiliki hari ini turut hadir berkat pengorbanan kedua-dua orang tuanya.
Menurut Iman atau nama sebenarnya, Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, 24, ibunya menjadi individu yang bertanggungjawab menguruskan pendapatan serta perbelanjaannya sejak awal bergelar penyanyi sehingga kini.
Penyanyi lagu Teman itu turut menambah, keputusan berkenaan dibuat atas kehendak sendiri memandangkan dia menyedari kecenderungannya untuk berbelanja mengikut kehendak sekiranya tidak dikawal.
“Daripada awal saya menyanyi, sejak umur 16 tahun saya sudah bekerja. Dari situlah emak pegang duit saya sampailah sekarang. Semua benda emak yang uruskan.
“Setiap bulan dia akan beri duit belanja. Kalau dia bagi jumlah itu, itulah yang saya perlu gunakan untuk sebulan. Saya tak boleh minta lebih.
“Kalau nak beli apa-apa pun, saya kena minta izin emak dahulu. Sejujurnya saya rasa lebih selamat apabila orang tua kita pegang duit,” katanya.
Iman berkata demikian selepas mengadakan persembahan sempena majlis pembukaan cawangan terbaharu jenama tempatan, Bayu Somerset di 118 Mall, Merdeka 118, baru-baru ini.
Jelasnya lagi, dia tidak pernah menganggap pendapatan yang diperoleh hasil titik peluh sendiri sebagai milik mutlaknya kerana percaya kejayaan yang dikecapi hari ini turut didorong oleh restu serta pengorbanan kedua orang tua.
“Saya nak ibu bapa saya rasa duit tersebut juga merupakan milik mereka, bukan duit saya semata-mata. Saya di sini pun disebabkan rezeki dan pengorbanan mereka,” ujarnya lagi.
Baca Artikel Lain;


Iman Bangga, Sokong Produk Tempatan
Dalam pada itu, Iman turut mengakui dirinya seorang yang berhemat dalam berbelanja dan tidak terlalu dipengaruhi kecenderungan untuk memiliki barangan berjenama antarabangsa.
“Saya bukan individu yang terlalu mementingkan jenama. Ada juga satu, dua saya beli ‘brand’ luar, selebihnya memang produk lokal,” katanya.
Akui Iman dia juga lebih selesa menyokong produk tempatan seperti Bayu Somerset, jenama fesyen kontemporari tempatan yang kini terus mengukuhkan kedudukannya menerusi pembukaan cawangan ke-25 di 118 Mall, Merdeka 118.
“Saya bangga melihat semakin ramai usahawan tempatan berani membina perniagaan sendiri sekali gus menembusi pasaran luar negara. Diundang memeriahkan pembukaan premis ke-25 Bayu Somerset juga satu kebanggaan buat saya.
“Perkembangan ini turut membuktikan rakyat Malaysia semakin kreatif dan mempunyai keyakinan mengetengahkan jenama sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada produk luar.
“Saya memang suka menyokong produk tempatan. Masing-masing ada kreativiti dan identiti tersendiri, tetapi masih mengekalkan elemen Malaysia serta tradisi kita,” katanya.
Sasar 32 Cawangan Menjelang Akhir Tahun
Sementara itu, Bayu Somerset terus mengorak langkah dalam memperkukuh kedudukannya sebagai jenama fesyen tempatan menerusi pembukaan cawangan terbaharu di 118 Mall, Merdeka 118, Kuala Lumpur.
Pembukaan outlet ke-25 yang berkeluasan 2,640 kaki persegi itu turut menandakan ulang tahun kelima jenama berkenaan dalam industri, sekali gus menjadi langkah strategik untuk memperluas kehadirannya di lokasi komersial dan pelancongan bertaraf antarabangsa.
Anda mungkin berminat dengan
Sepanjang lima tahun beroperasi, Bayu Somerset berjaya membina identiti tersendiri menerusi rona ceria, motif cetakan eksklusif serta koleksi pakaian ready-to-wear yang ditawarkan pada harga mampu milik.
Bermula sebagai label tempatan dengan komuniti pelanggan setia, jenama itu kini berkembang sehingga memiliki 25 cawangan fizikal di seluruh negara dan menyasarkan pembukaan tujuh lagi outlet bagi mencapai sasaran 32 cawangan menjelang penghujung tahun ini.
Ketua Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul Arifin berkata, pembukaan cawangan di lokasi ikonik berkenaan merupakan pencapaian komersial yang cukup bermakna buat jenama itu.
“Pembukaan cawangan baharu kami di Merdeka 118 merupakan satu pencapaian komersial yang amat bermakna, sekali gus menandakan ulang tahun kelima kami dalam industri,” katanya.
Terang Dania lagi, meskipun terus mengembangkan perniagaan, jenama berkenaan tetap berpegang kepada identiti asal yang menjadi kekuatan jenama itu sejak awal penubuhannya, termasuk tawaran harga mesra poket, rekaan berani dan ekspresif serta hubungan erat dengan komuniti pelanggan setia.
Selain Iman, pelancaran tersebut turut diserikan dengan pertunjukan koleksi khas (brand showcase), persembahan tarian kebudayaan oleh Akar Seni Malaysia serta persembahan nyanyian daripada Aufahanie.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!


