
Penganjuran Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) bukan sekadar menjadi platform pengiktirafan terhadap kecemerlangan penggiat seni, malah berperanan sebagai pemangkin kepada perkembangan industri perfileman negara yang kini semakin menunjukkan prestasi memberangsangkan, khususnya dari aspek kualiti penerbitan, kekuatan penceritaan dan kutipan pawagam.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, berkata industri perfileman tempatan kini berada pada landasan positif apabila lebih 10 filem tempatan berjaya mencatat kutipan melebihi RM10 juta sepanjang tahun ini, sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan FINAS pada awal tahun.
“Alhamdulillah, industri filem dan televisyen negara semakin berkembang, bukan sahaja dari segi kualiti pembikinan, malah kekuatan penceritaan dan mutu lakonan. Jika dahulu hanya dua atau tiga filem setahun mampu mencatat kutipan melebihi RM10 juta, tahun ini kita berjaya mencapai sasaran lebih 10 filem.
“Pencapaian ini membuktikan karya tempatan semakin berkualiti, diterima penonton dan mempunyai potensi untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Menurut beliau, peningkatan kualiti tersebut turut diakui barisan juri FFM35 yang berdepan cabaran untuk memilih karya terbaik berikutan persaingan sengit antara filem yang dipertandingkan.
Malah, sambutan positif terhadap filem tempatan menerusi platform penstriman antarabangsa turut membuktikan kemampuan industri menghasilkan kandungan yang mempunyai nilai komersial serta daya tarikan merentas sempadan.
Azmir berkata, FINAS berhasrat menjadikan FFM sebagai acara tahunan utama yang bukan sahaja meraikan kecemerlangan pembikin filem, malah menjadi platform untuk menyatukan seluruh warga industri bersama penonton tempatan.
Menurutnya, sambutan luar biasa daripada penggiat seni, termasuk pelakon yang tidak tersenarai dalam kelompok lima calon terbaik, mencerminkan semangat kebersamaan yang semakin kukuh dalam industri perfileman negara.
“Kita mahu FFM menjadi medan seluruh penggiat industri meraikan kejayaan rakan seperjuangan, selain mendekatkan masyarakat dengan perkembangan perfileman negara. Sebagai dorongan kepada penghasilan karya yang lebih cemerlang, pemenang Filem Terbaik FFM35 turut menerima dana RM1 juta untuk membantu mereka meneruskan usaha menghasilkan filem berkualiti,” katanya.
FINAS Perkenal Sistem Penjurian Baharu
Dalam usaha memperkukuh kredibiliti penganjuran, FINAS turut memperkenalkan sistem penjurian baharu buat pertama kali menerusi FFM35 dengan mengekalkan lapan juri profesional, selain melibatkan tambahan 50 juri industri yang terdiri daripada bekas pemenang FFM dan pensyarah universiti.
Azmir menjelaskan, proses penilaian dilaksanakan secara dalam talian dengan identiti barisan juri industri tidak didedahkan antara satu sama lain, termasuk kepada juri profesional, bagi memastikan proses penjurian berlangsung secara bebas, telus dan tanpa dipengaruhi kepentingan tertentu.
“Pada peringkat awal, terdapat beberapa persoalan daripada juri profesional mengenai kaedah pemarkahan dan proses perbincangan.
“Bagaimanapun, selepas keseluruhan proses selesai, mereka sendiri terkejut apabila mendapati keputusan 50 juri industri adalah selari dengan penilaian juri profesional. Ini membuktikan pendekatan baharu tersebut mampu memperkukuh ketelusan dan memastikan keputusan tidak bergantung kepada pertimbangan individu semata-mata,” katanya lagi.
Beliau menambah, pendekatan berkenaan merupakan antara langkah FINAS untuk meningkatkan keyakinan penggiat industri terhadap kredibiliti FFM sebagai platform pengiktirafan tertinggi dalam bidang perfileman negara.
Mengulas mengenai tema ‘Spektrum Sinema’, Azmir berkata pemilihan tema tersebut mencerminkan kepelbagaian budaya, bahasa, genre dan kreativiti yang semakin menyerlah dalam industri perfileman Malaysia.
Katanya, lima calon Filem Terbaik FFM35 merangkumi karya berbahasa Melayu, Mandarin dan Tamil, selain mengetengahkan pelbagai genre berbeza termasuk aksi, komedi, seram serta filem bercorak festival.
“Inilah kekuatan sebenar sinema Malaysia yang memiliki kepelbagaian identiti dan pendekatan penceritaan. Kita bukan sahaja mahu meraikan kepelbagaian ini menerusi FFM35, tetapi menjadikannya sebagai kelebihan untuk memperkenalkan karya tempatan kepada penonton antarabangsa,” katanya.


Baca Artike Lain;
Anda mungkin berminat dengan
Perkukuh Kerjasama Antarabangsa, Sasar Filem Malaysia Tembusi Pasaran Global
Bagi memperluas capaian ke pasaran global, beliau berkata FINAS akan terus memperkukuh program ‘Market Access’ menerusi penyertaan delegasi Malaysia dalam pasaran dan acara industri antarabangsa seperti MIPCOM di Cannes, Hong Kong FILMART, Festival Filem Animasi Antarabangsa Annecy di Perancis, Asia TV Forum & Market (ATF) di Singapura serta JAFF Market di Yogyakarta, Indonesia.
Kerjasama strategik bersama platform penstriman seperti Netflix, iQIYI dan Viu turut diperkasakan sebagai saluran penting untuk mengeksport kandungan Malaysia.
Selain itu, FINAS juga menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Luar Negeri serta pejabat kedutaan Malaysia di luar negara bagi mempromosikan karya tempatan kepada khalayak antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, Azmir memaklumkan FINAS bakal mengumumkan kerjasama baharu dengan Indonesia, termasuk pelaksanaan program ‘Malay Script Lab’ yang memberikan tumpuan kepada pembangunan skrip dan penerbitan bersama antara kedua-dua negara.
Usaha memperkukuh jaringan kerjasama serantau turut dirancang menerusi Asian Film Alliance Network (AFAN) dan program SeaShorts.
“Malaysia mempunyai banyak karya berkualiti dengan identiti budaya dan kekuatan penceritaan tersendiri. Melalui kerjasama penerbitan, akses pasaran dan jaringan strategik antarabangsa, kita mahu memastikan filem Malaysia bukan sahaja berjaya di negara sendiri, tetapi mampu menembusi pasaran lebih luas serta membina kedudukan yang lebih kukuh dalam industri perfileman global,” katanya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

sekarang!

