
Anak sulung kepada penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob iaitu Ahmad Fariedz Shah turut menzahirkan rasa gembira apabila lamaran bapanya terhadap usahawan sensasi, Datuk Seri Vida, mendapat sambutan baik.
Menurut Fariedz, dia juga lega apabila keputusan besar itu turut diterima baik oleh anak-anak daripada kedua-dua belah pihak.

“Saya sangat gembira dan berpuas hati. Saya mahu Dida dan Mama Vida gembira. Yang paling penting, anak-anak turut terima baik keputusan ini. Adik beradik saya juga rasa selesa.
“Saya lega apabila Cik B turut terima keputusan Dida untuk melamar Mama Vida. Pada mulanya, saya agak gemuruh bila melihat respon Cik B yang agak kurang yakin.
“Alhamdulillah segalanya dipermudahkan,” katanya kepada MH.
Bekas peserta program realiti Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) itu berkata demikian ketika ditemui selepas acara pertunjukan dron istimewa yang berlangsung di KLCC, baru-baru ini.
Sifat Penyayang, Manja Dan Kuat Pegangan Agama
Dalam pada itu, Fariedz turut menyifatkan Vida sebagai seorang insan penyayang yang mampu melengkapi kehidupan bapanya.


“Saya boleh nampak Mama Vida banyak mencurahkan kasih sayang kepada Dida. Pegangan agamanya juga sangat kuat dan Mama Vida seorang yang manja, cantik dan bermurah hati,” kongsinya lagi.
Mengulas mengenai kejutan lamaran serta persembahan dron istimewa itu, Fariedz menjelaskan anak-anak sebenarnya sudah mengetahui perancangan berkenaan lebih awal.
Dia juga bersyukur apabila segala-galanya berjalan lancar seperti diharapkan.
“Saya tahu mengenai kejutan lamaran ini sejak daripada perancangan awal lagi. Dida ada bertanya pendapat saya. Saya pun berkongsikan setiap kemungkinan yang bakal berlaku.
“Saya memang terlibat daripada awal sehingga lamaran ini berjaya dilakukan. Perancangan ini mengambil masa hampir sebulan.
“Kita semua berdoa agar segalanya dipermudahkan dan hubungan ini kekal hingga ke akhirat,” ujarnya.
Teruja Bakal Miliki Kakak & Abang
Dalam masa sama, Fariedz turut meluahkan keterujaannya untuk menyambut kehadiran ahli keluarga baharu yang disifatkan mampu memberikan warna berbeza dalam kehidupannya.
Sebagai anak sulung, Fariedz mengakui dia tidak pernah merasai pengalaman mempunyai abang atau kakak untuk dijadikan tempat bergantung serta berkongsi pandangan.

“Sebagai seorang anak sulung, saya tak pernah ada kakak dan abang. Seumur hidup, saya kena menjaga adik-adik saya. Saya tidak pernah ada satu sosok untuk dilihat sebagai abang dan kakak.
“Bila bersama Cik B dan Kacak, saya dapat rasakan kehidupan ini jadi lebih bertenang. Kini, saya boleh mendapatkan pendapat daripada kakak dan abang.
Anda mungkin berminat dengan
“Saya rasa lega lebih-lebih lagi bila ada ramai orang di dalam rumah nanti,” akhirinya.
Untuk rekod, hubungan Fazley dan Vida mula menjadi perhatian selepas kedua-duanya terbabit dalam program realiti Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) pada Mei lalu.
Terdahulu, Fazley pernah mendirikan rumah tangga bersama Azrene Soraya Abdul Aziz selama 18 tahun sebelum mereka mengambil keputusan untuk berpisah pada Oktober 2024.
Hasil perkongsian hidup tersebut, pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz Shah, Ahmad Fieradz Shah, Fierudz Shah dan Alayna Selma.
Sementara itu, Vida pula pernah mendirikan rumah tangga sebanyak tiga kali.
Perkahwinan ketiganya bersama bekas suami, Fairuz Ahmad Zainuddin, berakhir pada 7 April 2017 selepas tiga tahun bersama.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!


