
Selepas dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) yang membawa gelaran Datuk, penyanyi dan pelakon, Datuk Ziana Zain menegaskan pengiktirafan tersebut tidak semestinya mempengaruhi kadar bayaran yang ditetapkan bagi setiap persembahannya.
Sebaliknya, Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain berkata, dia masih mengekalkan kadar bayaran bersesuaian dengan keadaan semasa, selain mengambil kira pengalaman yang dimiliki sepanjang bergelar anak seni.

“Saya tidak melakukan sebarang ‘demand’ atau perubahan dari segi harga. Saya masih mengekalkan harga-harga yang relavan pada zaman sekarang selain turut berpaksikan kepada pengalaman.
“Pada saya, gelaran dan nyanyian adalah dua hal yang berbeza. Segalanya berjalan seperti biasa sahaja.
“Kita memang ada menetapkan ‘quotation’ untuk jenis-jenis persembahan,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Madah Berhelah itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Vaganza dan Konsert Sooka yang berlangsung di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Ziana diumumkan sebagai antara barisan selebriti yang bakal membuat kemunculan menerusi Konsert Vaganza yang dijadualkan berlangsung pada 6 Disember depan itu.

Utamakan Situasi ‘Menang-Menang’, Ambil Kira Kos Semasa
Mengulas lanjut, menurut Ziana, ada juga pihak penganjur lazimnya sudah mengetahui kadar bayaran seseorang penyanyi menerusi rate card yang ditetapkan.
Bagaimanapun, ruang rundingan tetap terbuka bagi mencapai persetujuan bersama.

Tambahnya lagi, sebarang kenaikan bayaran hanya akan dipertimbangkan berdasarkan situasi dan perkembangan semasa, termasuk peningkatan kos yang perlu ditanggung.
“Saya belum berfikir ke arah itu lagi. Kenaikan harga hanya akan berlaku mengikut situasi dan perkembangan semasa.
“Jika harga minyak meningkat, harga kita pun akan berubahlah sedikit.
“Lagipun, pada saya, setiap promoter atau pihak penganjur sudah tahu ‘rate card’ seseorang penyanyi itu. Kita sentiasa ada ruang untuk rundingan. Kita mahukan situasi menang-menang buat kedua-kua pihak.
“Lihat sahaja pada penampilan saya, saya perlukan team. Kita ada hijab stylist, jurusolek, fashion stylist dan banyak lagi.
“Dahulu, kesemua perkara ini kita buat sendiri. Sekarang pula, ia menjadi satu kemestian. Bila kita keluar, kita sentiasa perlu tampil ‘on point’.
“Jadi, saya berkongsi rezeki bersama mereka,” ujarnya lagi.
Anda mungkin berminat dengan
Tidak Kisah Dipanggil Kak Gee
Dalam perkembangan sama, Ziana turut menjelaskan dirinya tidak kisah dengan apa sahaja panggilan yang diberikan peminat meskipun kini sudah bergelar Datuk.
Katanya, peminat dan orang ramai bebas menggunakan apa sahaja gelaran yang dirasakan bersesuaian, apatah lagi mereka sudah mengenalinya sejak sebelum menerima pengiktirafan tersebut.

“Saya okay sahaja dengan apa sahaja panggilan. Ada juga peminat yang tersalah sebut. Pada saya, tindakan itu tidak salah. Jika anda sudah terbiasa panggil saya Kak Gee, panggillah.
“Apa sahaja panggilan yang buat anda selesa, teruskanlah. Anda kenal saya sebelum dapat gelaran Datuk. Namun, ketika menghadiri majlis-majlis tertentu, penggilan itu perlu mengikut protokal.
“Hal ini masih baharu buat saya. Saya masih sedang membiasakan diri. Selain daripada itu, tiada apa yang berubah,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!


