
Penyanyi remaja, Cik B menzahirkan rasa kagum terhadap usaha yang ditunjukkan penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob dalam usahanya menjadikan ibunya, usahawan kosmetik Datuk Seri Vida sebagai isteri
Menurut Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamilleen Muhammad Amin, kesungguhan Fazley membuktikan bakal bapa tirinya itu bukan sekadar menabur janji, sebaliknya benar-benar serius dalam memperjuangkan hubungan mereka.

“Saya nak ucapkan tahniah buat mama. Walaupun saya ini seorang yang sangat memilih bila hal berkaitan ayah baharu tetapi saya merasakan usaha Dida (Fazley) ini sangat di luar jangkaan.
“Saya tak percaya Dida mampu merancang kejutan ini kerana ia sangat mahal dan memerlukan usaha yang besar. Tak semua orang mampu buat,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Nak Tu Nak Ni itu berkata demikian ketika ditemui selepas acara pertunjukan dron istimewa yang berlangsung di KLCC, Kuala Lumpur, pada Selasa.
Ketepikan Perasaan Sendiri Demi Kebahagiaan Ibu
Meskipun mengakui agak sukar untuk menerima kehadiran individu baharu yang bakal menjadi pendamping hidup ibunya, Cik B berkata dia akhirnya memilih untuk mengetepikan perasaan sendiri demi melihat kebahagiaan wanita yang melahirkannya itu.

“Sebelum hari ini, saya ada bergaduh dengan diri-sendiri tentang situasi keluarga ini. Namun, asalkan mama bahagia, saya juga bahagia.
“Saya faham semua orang perlukan pasangan di dalam hidup. Mama lebih faham hati dan perasaannya. Dia tahu bagaimana nak kawal emosinya.
“Saya ada bagitahu mama, saya izinkan jika mama mahu berkahwin dengan sesiapa pun tapi saya hanya minta satu perkara sahaja.
“Jika ia tidak berjalan seperti apa yang mama harapkan dan jika ada masalah dalam perhubungan, saya tak mahu mama sakit hati,” katanya.
Malah, Cik B menyifatkan Fazley sebagai seorang lelaki budiman yang memiliki ciri-ciri seorang ketua keluarga, sekali gus membuatkan dia yakin penyanyi itu mampu menjadi pendamping terbaik buat ibunya.

“Dida seorang lelaki yang sangat budiman dan utamakan keluarga. Jadi, saya merasakan Dida ini sempurna buat mama.
“Dida juga ada rupa yang kacak, pandai menyanyi, memasak dan berada.
“Bila Dida memilih mama, saya rasa berbesar hati. Saya sebenarnya ada banyak trust issue. Dida memang baik cuma yang bermasalah itu ialah saya. Maklumkan saya ini darah muda,” kongsinya lagi.
Pernah Cuba Cari Kesalahan Fazley, Namun Gagal
Dalam pada itu, Cik B mengakui pernah beberapa kali cuba mencari kelemahan dan kesilapan Fazley dengan harapan dapat meyakinkan ibunya supaya tidak memilih penyanyi itu sebagai pasangan hidup.

Bagaimanapun, usaha tersebut tidak berhasil apabila dia melihat sendiri bagaimana Fazley melayani dan menjaga Vida dengan penuh perhatian serta kasih sayang.
Anda mungkin berminat dengan
“Saya banyak kali cuba untuk mencari salah dan silap Dida untuk buktikan kepada mama untuk tidak memilih Datuk Fazley. Namun, saya melihat Dida terlalu sempurna.
“Susah nak cari salah dan silapnya. Cara dia menjaga dan melayan mama, bukan macam pasangan bercinta yang biasa. Dia layan mama seperti seorang puteri.
“Dida siap pakaian kasut mama. Sudah macam Cinderella,” akhirinya.
Untuk rekod, hubungan Fazley dan Vida mula menjadi perhatian selepas kedua-duanya terbabit dalam program realiti Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) pada Mei lalu.
Terdahulu, Fazley pernah mendirikan rumah tangga bersama Azrene Soraya Abdul Aziz selama 18 tahun sebelum mereka mengambil keputusan untuk berpisah pada Oktober 2024.
Sementara itu, Vida pula pernah mendirikan rumah tangga sebanyak tiga kali.
Perkahwinan ketiganya bersama bekas suami, Fairuz Ahmad Zainuddin, berakhir pada 7 April 2017 selepas tiga tahun bersama.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!


