
Pelakon dan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim meluahkan rasa apabila terpaksa menolak peluang menjalani sesi uji bakat bagi sebuah projek antarabangsa.
Menurut Sarimah, sekiranya berpeluang membintangi projek berkenaan, dia berkemungkinan dapat bergandingan dengan barisan pelakon ternama yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia, termasuk Henry Golding dan Datuk Michelle Yeoh.


“Pagi ini terpaksa membebel dan meluahkan perasaan sebab ketika ini, saya rasa agak kecewa. Ada sebuah sesi uji bakat untuk produksi luar negara sedang berlangsung.
“Mungkin anda juga ada tahu menerusi perkongsian di media sosial.
“Ejen saya yang berada di UK pun ada menghantarkan mesej untuk saya cuba uji bakat tersebut. Katanya, dia tak tahu sama ada watak ini sesuai untuk saya tapi apa salahnya kalau cuba.
“Dia minta saya untuk lihat dahulu skripnya. Saya memang sudah ada pengalaman untuk buat rakam uji bakat sendiri.
“Rancangan ini sangat menarik dan semua orang tahu mengenainya. Saya mungkin akan berkongsi skrin bersama sahabat lama Henry Golding dan Datuk Michelle Yeoh,” tulisnya.
Luahan tersebut dikongsikan oleh pelakon filem Gerak Khas The Movie 3 itu menerusi satu hantaran video di aplikasi Threads.
Terpaksa Tolak Tawaran Disebabkan Babak Intim
Jelas Sarimah, keputusan untuk menolak peluang berkenaan dibuat selepas dia meneliti keseluruhan skrip yang memerlukan dirinya membawa watak dengan beberapa adegan intim, selain mengenakan pakaian yang dianggap agak mencolok mata.

“Bila baca perincian skrip itu, segalanya nampak okay. Saya kena bawakan watak seorang wanita yang sudah bercerai, berkuasa dan sentiasa marah. Kesemuanya saya boleh buat.
“Bila masuk sahaja ke muka surat seterusnya, saya kena mencarut dan perlu pakai mikro mini skirt yang sangat seksi.
“Katanya watak itu tidak akan ada ‘body double’. Ada babak yang memerlukan saya tidak berpakaian dan melakonkan adegan intim. Sudah tentu saya tidak akan lakonkan semua itu,” kongsinya lagi.
Meskipun kecewa kerana terpaksa melepaskan peluang tersebut, Sarimah bagaimanapun menerima perkara itu dengan hati terbuka dan menganggap belum ada rezeki untuk dirinya melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa.
Enggan Gadai Prinsip Demi Kerjaya Seni
Jelas Sarimah, dia tidak akan sesekali menggadaikan prinsip diri semata-mata untuk mengejar peluang dalam bidang lakonan, meskipun menyedari cabaran untuk menembusi industri antarabangsa bukan sesuatu yang mudah.

Anda mungkin berminat dengan
“Nak tembusi industri antarabangsa ini, ada konsepnya yang tersendiri. Kita boleh bersedia, punyai segala skil di dalam dunia dan ada pengalaman selama 30 tahun sekali pun, namun bila skripnya bercanggah dengan prinsip dan moral, kita memang tak boleh nak buat.
“Sebagai wanita, isteri dan seorang muslim, saya terfikir kenapalah semua watak kena ada unsur-unsur seksual dan ‘nudity’?
“Tak mengapalah. Kiranya tiadalah jodohlah dengan tawaran itu. Namun, saya rasa agak sakit hatilah. Macam mana kita nak kembangkan sayap ke peringkat antarabangsa. Kenapa watak wanita selalu begini?
“Tak mengapalah. Saya tabahkan hati saya dan teruskan latihan, tambah skil dan sentiasa bersedia. Yang lain, kita serahkan pada Allah,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Sarimah Ibrahim
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!


