
Pelakon, Azlan Komeng mendedahkan dia dan isterinya yang juga usahawan, Nur Nilam Ortiz, kini sudah sah kembali bergelar suami isteri selepas mengambil keputusan untuk rujuk semula tahun ini.
Menurut Azlan atau nama sebenarnya, Muhammad Azlan Kamiran, dia bersyukur apabila jodohnya bersama isteri masih panjang dan menganggap peluang kedua ini sebagai ruang untuk mereka memperbaiki segala kelemahan masing-masing.

“Nilam masih lagi isteri saya. Kami pernah lalui zaman-zaman di mana kami tidak bersama lagi. Alhamdulillah mungkin jodoh kami masih kuat.
“Ada banyak proses yang kami lalui dan kami ambil keputusan bahawa kami masih lagi perlu bersama. Bukan mudah sebenarnya untuk kembali bersama.
“Nilam dengan cara hidupnya dan saya pula dengan sifat degilnya. Alhamdulillah kita makin faham antara satu sama lain,” katanya kepada MH.
Demi Kesihatan & Kebajikan Anak-Anak
Sementara itu, Nilam memaklumkan keputusan untuk kembali rujuk dengan Azlan dibuat selepas mengambil kira keadaan kesihatannya yang kini berdepan masalah darah beku di bahagian kepala.
Selain itu, dia turut memikirkan kebajikan anak-anak sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku kepadanya.

“Ketika ini, saya sakit. Saya sangat mementingkan diri. Bila sakit, saya asyik terfikir siapa yang akan menjaga anak-anak. Saya akan melalui beberapa prosedur kesihatan.
“Ibu dan kakak saya tinggal jauh. Azlan setuju untuk jaga anak-anak,” katanya.
Jelas Nilam lagi, selepas kembali rujuk, dia dapat melihat perubahan positif dalam diri Azlan yang kini lebih mengambil berat terhadap tanggungjawab serta kehidupan berumah tangga.

“Bila kita berkahwin semula, apa yang saya nampak, Azlan kini lebih bertenang dan rela untuk bekerjasama dalam segala hal.
“Kini, segalanya lebih senang. Kalau dahulu, dia nak bangun pagi atau bekerja sekali pun susah. Dia juga selalu berkira tetapi ketika ini, alhamdulillah mungkin dia sudah sedar bahawa isteri perlu dihargai.
“Ketika hidup bujang, mungkin dia merasakan agak susah hidup tanpa isteri,” ujarnya lagi.
Kehidupan Kini Lebih Manis
Dalam pada itu, Nilam menyifatkan keputusan untuk kembali rujuk sebagai satu hikmah apabila mereka berdua berpeluang memperbaiki diri serta belajar daripada kesilapan lalu.
Menurutnya, tempoh perpisahan sebelum ini memberi ruang kepada masing-masing untuk memperbaiki sikap dan memahami semula erti kehidupan berumah tangga.

Anda mungkin berminat dengan
“Bila bercerai dan berkahwin semula, tiada benda buruk yang berlaku. Banyak hal yang kita belajar semula. Bila pertama kali kita berpisah, kita perbaiki sikap masing-masing.
“Kini, kehidupan itu rasa lebih manis,” akhirinya.
Sekadar informasi, Nilam dan Azlan membuat pengumuman sudah bercerai pada Mac lalu, namun tidak memperincikan tarikh perpisahan mereka, sebelum ini kembali bergelar suami isteri.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 22 Januari 2022 itu turut dikurniakan seorang anak lelaki berusia lebih setahun yang dikenali sebagai KJ.
Sebelum ini, Nilam dan Azlan juga pernah melalui pengalaman kehilangan anak dalam kandungan.
Selain KJ, Nilam turut mempunyai seorang anak lelaki berusia tujuh tahun hasil daripada perkahwinan terdahulu.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!


