
Pelakon, Rita Rudaini mengakui dirinya masih belum bersedia sepenuhnya untuk melihat kedua-dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna, semakin meningkat dewasa serta bakal menjalani kehidupan sendiri.
Bagaimanapun, Rita sedar hakikat itu perlu diterima dan sebagai ibu, dia harus memberikan ruang kepada kedua-dua anaknya untuk mengejar impian serta membina kehidupan masing-masing.

“Nak kata saya sudah bersedia sepenuhnya pun tidak juga. Ketika ini, saya hanya tinggal berdua dengan anak bongsu. Yang sulung masih bersekolah di asrama.
“Selepas tamat asrama, Rayyan bakal melanjutkan pengajian lagi. Diikuti pula oleh Qaqa. Mungkin satu hari nanti, saya akan tinggal seorang diri,” katanya kepada MH.
Pelakon filem Mistik itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Anugerah Bintang Popular, baru-baru ini.
Terdahulu, Rita merupakan antara 10 selebriti yang tercalon bagi kategori Aktres Pembantu TV Popular.
Fikir Layanan Anak-Anak Berubah Apabila Dewasa
Mengulas lanjut, Rita mengakui ada kalanya dia tertanya-tanya sama ada layanan anak-anak terhadapnya akan berubah apabila mereka semakin dewasa dan mula mengenali insan baharu dalam kehidupan.

“Mereka pula akan melalui fasa untuk berkenalan dengan orang baharu. Bila mereka sudah berteman, adakah layanan mereka terhadap saya berbeza?
“Saya memikirkan hal-hal seperti itu. Ada kalanya, ia buat saya sebak. Usia mereka makin meningkat. Sekejap sahaja masa berlalu,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Rita memaklumkan dia tidak pernah putus memberikan kata-kata semangat dan nasihat kepada anak-anak agar tidak mudah berputus asa apabila berdepan kegagalan dalam kehidupan.
Rita juga mahu kedua-dua anaknya menjadikan perjalanan hidupnya sendiri sebagai contoh bahawa kegagalan bukanlah pengakhiran, sebaliknya ruang untuk seseorang bangkit dengan lebih kuat.

“Saya tak sangka dapat besarkan anak-anak sehingga tahap ini. Saya pernah bercakap dengan anak-anak, apa sahaja yang awak buat dalam hidup dan jika gagal, janganlah terus tunduk atau bersedih.
“Mereka perlu melihat saya sebagai contoh. Saya pernah gagal dalam hidup dan perkahwinan.
“Namun, saya bangkit untuk besarkan mereka sehingga mereka dapat pergi ke sekolah yang terbaik dan jadi pelajar cemerlang. Itulah cara saya bangkit,” kongsinya lagi.
Kehidupan Lebih Tenang, Banyak Di Rumah
Meniti usia 50 tahun, Rita mengakui kehidupannya kini jauh lebih tenang dan teratur, apatah lagi apabila kedua-dua anaknya semakin meningkat dewasa.

“Kehidupan sekarang lebih tenang bila anak-anak pun sudah besar. Tawaran kerja pun saya tidak ambil bertindih-tindih. Saya bekerja dan kemudiannya saya berehat sahaja di rumah.
Anda mungkin berminat dengan
“Saya hanya buat kerja-kerja sebagai seorang ibu seperti kemas rumah, hantar anak pergi aktiviti sukan dan tuisyen. Selepas solat Isyak, saya sudah tidur.
“Sejak dahulu lagi, saya memang suka duduk di rumah. Dahulu, walaupun duduk di rumah, saya rasa agak kelam kabut. Hari-hari kena keluar bekerja. Ketika ini, saya agak bertenang.
“Anak-anak pun dah besar dan mereka pula yang melayan dan menjaga saya. Saya ada banyak waktu terluang,” akhirinya.
Sekadar informasi, Rita pernah mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Razak pada 2008.
Bagaimanapun, pasangan itu mengambil keputusan untuk bercerai selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!


