
Pelakon, Fattah Amin menjelaskan tindakan dirinya dan isteri, Amira Othman mengeluarkan kenyataan menerusi wakil peguam berhubung dakwaan tular membabitkan kes pembantu rumah baru-baru ini, adalah bagi mengelakkan sebarang salah faham dalam kalangan masyarakat.
Menurut Fattah, kenyataan tersebut terpaksa dibuat selepas mendapati masih terdapat pihak yang kurang jelas atau tidak memahami situasi sebenar sehingga mengaitkan namanya dengan kes berkenaan.
Tiada Kaitan Dengan Isu Tular
Tegas pelakon filem Kulit Wayang itu lagi, dia dan Amira langsung tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana individu yang terlibat dalam isu tular tersebut.

“Sebenarnya peguam kami sudah pun keluarkan kenyataan baru-baru ini. Jadi saya tak bercadang untuk ulas lebih lanjut kerana enggan mencetuskan lagi kekeliruan.
“Kami sebenarnya tak sangka isu itu boleh jadi tular. Mungkin ada juga yang tidak jelas, tidak faham atau tidak tahu mengenai perkara sebenar.
“Jadi, kami keluarkan satu kenyataan untuk membuat penjelasan bahawa saya tidak ada kena-mengena dengan isu berkenaan,” katanya kepada MH.
Fattah berkata demikian ketika ditemui pada kejohanan All Star Picklebash 2.0 yang berlangsung di Pickle Social Club, Bukit Kiara pada Khamis.
Serah Kepada Polis & Peguam
Dalam pada itu, Fattah memaklumkan dia tidak berhasrat untuk mengulas lebih lanjut mengenai perkara tersebut memandangkan kes berkenaan masih berada dalam siasatan pihak berkuasa.

“Itu sahaja yang mahu dijelaskan. Kami juga tidak mahu memberi komen lebih-lebih mengenai isu ini.
“Setakat yang saya tahu, kes itu masih lagi dalam urusan pihak polis dan peguam,” katanya.
Terdahulu, pada 13 Jun lalu, tular sebuah video memaparkan insiden keganasan fizikal membabitkan empat individu terhadap seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai bekerja sebagai pembantu rumah.
Anda mungkin berminat dengan
Susulan penularan video tersebut, terdapat segelintir netizen membuat perkongsian berbaur fitnah dengan mengaitkan nama mereka berdua sebagai antara individu yang terlibat dalam dakwaan insiden berkenaan.
Sehubungan itu, firma guaman Arief & Iskandar Advocates & Solicitors yang mewakili pasangan terbabit telah mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menafikan sebarang kaitan anak guam mereka dengan insiden seperti yang diperkatakan netizen.
Wakil firma guaman tersebut turut menegaskan, Fattah dan Amira bukan individu yang berada dalam klip video tular itu serta tidak terlibat dengan insiden keganasan berkenaan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

