
Penyanyi Siti Saerah reda dengan keputusan anaknya yang juga penyanyi remaja, Ahmad Dayyan atau Amad, untuk berpindah dan menetap bersama bapanya, Saiful Anuar di Kuantan, Pahang.
Menurut Saerah atau nama sebenarnya Siti Nursairah Tarudin, sebagai ibu dia menghormati pilihan yang dibuat anaknya itu meskipun berat hati untuk melepaskan.

“Bila sampai satu masa, anak remaja ini akan ada pilihannya sendiri. Sebagai ibu saya tidak pernah menghalang kehendaknya.
“Sekiranya dia merasakan pilihan untuk pulang ke sana adalah untuk kebaikkan dirinya, saya tiada masalah,” katanya kepada MH.
Saerah berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu anaknya, Umairah berjudul Hujung Indah yang berlangsung di Ideas Hotel, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Sedih Hingga Hilang Tidur
Dalam pada itu, Saerah mengakui perpisahan dengan anak bukan sesuatu yang mudah untuk diterima. Namun, dia tetap mendoakan yang terbaik buat Amad dan berharap keputusan tersebut membawa perubahan positif dalam hidup anaknya.

“Ibu mana yang tak sedih bila berjauhan dengan anak. Sedih saya itu sampai tahap tak boleh nak tidur. Namun, itu sudah menjadi pilihannya.
“Sebagai ibu, saya hanya mendoakan yang terbaik. Saya turut mengharapkan perubahan yang baik buat dirinya. Saya doakan semoga dia bahagia dengan pilihannya sendiri,” ujarnya lagi.
Kerjaya Seni Tetap Diteruskan
Mengulas mengenai perjalanan kerjaya seni Amad, Saerah memaklumkan segala urusan kerja akan diteruskan seperti biasa memandangkan anaknya itu masih mempunyai baki kontrak bersama syarikat rakaman selama dua tahun.

“Buat masa sekarang, Amad masih punyai baki kontrak selama dua tahun. Walau macam mana sekali pun, Amad kena selesaikan kerja-kerjanya juga.
“Selagi kontrak dia belum habis, saya akan menguruskan kerjaya dia di Kuala Lumpur. Manakala di Kuantan pula, bapanya yang akan uruskan.
“Saya juga dah jelaskan kepada Amad tentang kontrak tersebut. Selagi kontrak masih berjalan, kita akan lunaskan segala tugasan mengikut kontrak.
“Bila selesai sahaja kontrak itu nanti, saya rasa saya dah tak bertanggungjawab menguruskan Amad,” jelasnya.
Anda mungkin berminat dengan
Ketika ditanya mengenai jadual giliran Amad untuk pulang ke Kuala Lumpur, Saerah memaklumkan mereka masih belum membincangkan perkara tersebut kerana anaknya itu masih dalam proses menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

“Kita belum ada berbincang lagi kerana segalanya masih baharu. Dia pun baru dua minggu berpindah.
“Dia juga ada menelefon dan membuat panggilan video bersama adik-adiknya,” akhirinya.
Terdahulu, keputusan Amad untuk berpindah dan bertukar sekolah ke Kuantan, Pahang menjadi perhatian ramai serta mengejutkan pelbagai pihak.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

