
Setelah tujuh minggu berjuang dan berhempas pulas memberikan persembahan terbaik, pelakon Datuk Jalaluddin Hassan bagai menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai juara sulung Kilauan Emas Selebriti (KES) yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam, pada Sabtu.
Jalaluddin Bawa Pulang Trofi, Emas & Kontrak Rakaman
Kemenangan tersebut membolehkan dramatis legenda itu membawa pulang hadiah utama berupa sebuah trofi sumbangan Astro, emas edisi khas, pakej percutian dan hamper bernilai RM800 sumbangan pihak penaja.
Bukan setakat itu, Jalaluddin juga bakal menerima kontrak rakaman single bersama syarikat rakaman, Rocketfuel Entertainment.
Pada malam kemuncak itu juga, Jalaluddin turut dinobatkan sebagai pemenang Emas Berkilau Of The Week, seterusnya menerima wang tunai RM2,000.
Wang tersebut kemudiannya disumbangkan buat pelawak dan pengacara terkenal, Salleh Yaakob yang ketika ini berdepan beberapa komplikasi kesihatan.
Pada malam ini, persembahan Jalaluddin berjaya memukau para juri menerusi dua tugasan solo dan duet.
Sementara itu, naib juara pula disandang oleh Datuk A. Tamimi Siregar yang menerima hadiah berupa trofi sumbangan Astro, kontrak single bersama Rocketfuel Entertainment, emas edisi khas, pakej percutian dan hamper bernilai RM600 sumbangan pihak penaja.
Dalam pada itu, pelakon Zila Bakarin dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga.
Zila berjaya membawa pulang trofi sumbangan Astro, emas edisi khas, pakej percutian dan hamper bernilai RM500 sumbangan pihak penaja.
Fazlina, Amyza & Rahhim Lengkapkan Enam Finalis
Tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing dimenangi oleh Fazlina Ahmad Daud, Amyza Aznan dan Rahhim Omar.
Ketiga-tiga pelakon terkenal itu menerima hadiah berupa trofi sumbangan Astro, emas edisi khas, pakej percutian dan hamper sumbangan pihak penaja.
Malam kemuncak KES telah diadili oleh barisan juri profesional iaitu Datuk Yusry Abd Halim dan Jihan Muse, manakala Datuk Ramli MS dan Azmi Saat pula bertindak sebagai juri jemputan.
Pentas akhir ini turut digamatkan lagi dengan persembahan daripada artis jemputan seperti Baggio, Rashid Teja, Bumiputra Rockers, Khir Rahman dan Wan Hanafisu.
Dari segi penjurian, sebanyak 80 peratus markah ditentukan oleh panel juri profesional, manakala baki 20 peratus lagi diperoleh menerusi undian penonton secara dalam talian.
Anda mungkin berminat dengan
Kilauan Emas Selebriti 2026 berlangsung selama tujuh minggu secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam, bermula 22 Ogos, setiap Sabtu pada pukul 9 malam menerusi Astro Prima.
Program berkenaan turut boleh distrim menerusi On Demand, Astro GO dan Sooka.
Saksikan LIVE Kilauan Emas Selebriti, mulai 22 Ogos 2026, setiap Sabtu, 9 malam dengan melanggani Astro X3 atau aplikasi Sooka.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

