
Sebagai ikhtiar untuk membantu pengurusan berat badan, penyanyi Zahid mendedahkan dirinya baru sahaja memulakan rawatan Mounjaro sejak dua minggu lalu.
Bagaimanapun, Zahid menjelaskan dia perlu kekal berdisiplin dalam menjaga pemakanan serta mengamalkan gaya hidup sihat bagi memastikan usaha itu membuahkan hasil.
“Saya ada ambil suntikan Mounjaro dan prosedur itu baru bermula sejak dua minggu lalu.
“Ada sebuah klinik menawarkan rawatan tersebut dan saya putuskan untuk jalani rawatan itu. Bila sudah dapat nasihat doktor, dia minta saya untuk tidak hanya mengharapkan prosedur ini sahaja.
“Saya masih perlu jaga pengambilan gula, kuantiti makanan selain digalakkan untuk aktif bersukan,” katanya kepada MH.
Juara Akademi Fantasia musim kedua (AF2) itu berkata demikian ketika ditemui selepas tamat konsert minggu ketiga Gegar Vaganza Fantasia (GVF) yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam, pada Ahad.
Berjaya Turunkan 2.5KG Dalam Minggu Pertama
Mengulas lanjut mengenai perkembangan rawatan tersebut, Zahid memaklumkan usaha itu mula menunjukkan hasil apabila dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak 2.5 kilogram (kg) pada minggu pertama.
“Pada minggu pertama, saya berjaya turunkan berat badan sebanyak 2.5 kilogram. Kata doktor, ia satu jumlah yang bagus. Ukuran lilit pinggang pula turun dua inci.
“Dari luaran, kita mungkin tak nampak tapi inilah hasil pemeriksaan doktor. Semoga minggu ini berat badan saya turun pada jumlah yang sama.
“Selepas itu, barulah pihak doktor akan menaikkan jumlah dos bergantung kepada kesesuaian,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Milikku itu bersyukur apabila rawatan berkenaan tidak memberikan kesan terhadap kemampuan nyanyiannya, lebih-lebih lagi ketika bersaing di pentas GVF.
“Alhamdulillah, ia tidak memberikan kesan kepada nyanyian saya. Cuma sehari menerima suntikan, saya rasa mengantuk dan tak bertenaga.
“Namun, semuanya okay sahaja. Saya tidak mengalami sebarang gejala seperti muntah-muntah,” kongsinya lagi.
Menurut Zahid, cabaran terbesar yang perlu dihadapinya ketika ini adalah untuk mengawal selera makan serta mengekalkan disiplin dalam aspek pemakanan.
“Bab jaga makan itu paling susah. Lebih-lebih lagi bila di program GVF ini, makanan semua sudah tersedia.
“Apa yang bagus mengenai rawatan ini, ia melambatkan pergerakan usus kita. Ia jadikan kita cepat kenyang,” kongsinya lagi.

Baca artikel Lain;
Tak Sangka Raih Markah Tertinggi Di GVF
Terdahulu, Zahid mencipta kejutan apabila berjaya menduduki tangga pertama pada konsert minggu ketiga GVF selepas meraih markah tertinggi sebanyak 62.20 peratus (%).
Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Zahid tidak menyangka persembahannya menerusi lagu Biarlah Bulan Bicara berjaya menambat hati barisan juri sehingga melayakkannya berada di kedudukan teratas.
Anda mungkin berminat dengan
“Alhamdulillah, saya memang tak sangka. Reaksi saya di atas pentas itu, adalah reaksi yang benar. Saya rasa ada orang lain yang lebih layak.
“Apapun, saya bersyukur dan ingin berterima kasih kepada pihak juri yang memberikan markah. Bila dapat nombor satu ini, tekanan itu pastinya akan jadi lebih tinggi.
“Orang akan meletakkan ekspektasi yang lain pula. Semoga minggu depan boleh berikan persembahan terbaik. Kalau boleh, saya tak nak nombor satu lagi. Ia buat saya takut,” akhirinya.
GVF berlangsung selama 11 minggu secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam bermula 9 November, setiap Sabtu pukul 9 malam menerusi Astro Ria (104).
Program berkenaan turut boleh distrim menerusi On Demand, Astro GO dan Sooka.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

sekarang!

