
Tahniah diucapkan kepada pelakon tempatan, Nandagopall Mohan, yang sukses mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul Anugerah Pelakon Baharu Terbaik menerusi filem Sayang Sayang di Golden Horse Awards Ke-63.
Kemenangan membanggakan itu diumumkan pada majlis anugerah yang berlangsung pada Ahad di Taipei Music Center, Taipei, Taiwan.
Pencapaian tersebut sekali gus mengharumkan nama Malaysia di salah satu pentas anugerah perfileman paling berprestij di Asia, selain membuktikan kemampuan bakat tempatan untuk meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Menerusi filem berkenaan, Nandagopall membawakan watak Ajay, seorang remaja kurang pendengaran dan tidak boleh bertutur, namun mempunyai minat mendalam terhadap tarian.
Tanpa bergantung kepada dialog, Nandagopall berjaya menyampaikan emosi serta menghidupkan watak tersebut menerusi ekspresi wajah, bahasa tubuh dan pergerakan tarian yang memberikan impak kepada penonton.
Dedikasi Anugerah Buat Mereka Yang Pernah Berasa Terpinggir
Ketika menerima anugerah tersebut, Nandagopall turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, pengarah serta seluruh pasukan produksi Sayang Sayang yang telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk menghidupkan watak Ajay.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mempercayai dan memberikan peluang kepada saya untuk membawa kisah ini.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada Ajay kerana memilih saya untuk menceritakan kisahnya.
“Saya dedikasikan anugerah ini kepada semua insan yang pernah berasa terpinggir, terpaksa memendam perasaan atau merasakan suara mereka tidak didengari.
“Saya berharap melalui kisah Ajay, mereka akan menemui suara sendiri, belajar menerima diri dan menghargai siapa diri mereka sebenarnya,” katanya.
Untuk rekod, Sayang Sayang diterbitkan oleh More Entertainment Sdn Bhd dan IS Entertainment Co., Ltd dengan kerjasama Astro Shaw.
Filem berkenaan berjaya meraih lima pencalonan di Golden Horse Awards Ke-63, iaitu kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Mhia Firdaus, Pelakon Baharu Terbaik, Lakon Layar Asal Terbaik, Kesan Visual Terbaik dan Kesan Bunyi Terbaik.

Baca Artikel Lain;
Anda mungkin berminat dengan
Angkat Kisah Kekeluargaan
Diarahkan oleh pengarah Taiwan, Tang Hsiang-Chu, Sayang Sayang merupakan sebuah filem kerjasama produksi Malaysia dan Taiwan yang mengangkat kisah kekeluargaan, kasih sayang serta kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia.
Filem ini mengetengahkan hubungan dan emosi manusia yang dekat dengan kehidupan seharian, sekali gus membuktikan bahawa kisah tempatan juga mampu mendapat perhatian serta pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Selain Nandagopall, filem ini turut dibintangi barisan pelakon Malaysia dan Taiwan termasuk Amir Ahnaf, Khir Rahman, Farah Ahmad, Mhia Firdaus, Jo Kukathas, Sasha Tang, Ong Ai Leng dan Lee Lee-Zen.
Filem Sayang Sayang ditayangkan sejak 5 November lalu di pawagam seluruh Malaysia.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

sekarang!

