
Susulan menerima ancaman serangan menggunakan parang menerusi media sosial, pelakon Mierul Aiman mendedahkan individu yang mengeluarkan kenyataan berkenaan telah menghubunginya secara peribadi bagi memohon maaf atas tindakan tersebut.
Menurut Mierul, dia merasakan permohonan maaf yang disampaikan itu dibuat dengan penuh keikhlasan dan jujur.
Malah, dia menganggap insiden berkenaan sebagai satu hikmah yang turut memberikan pengajaran kepada semua pihak.

“Alhamdulillah, pihak yang mengeluarkan kenyataan tersebut telah pun memohon maaf secara peribadi kepada saya. Malah, saya juga merasakan ia merupakan permohonan maaf yang ikhlas dan jujur.
“Dia sangka, hal itu hanyalah gurauan dan tidak mengetahui ia keterlaluan dan melampaui batas. Saya angap hal ini sebagai satu peringatan untuk diri dan orang lain juga,” katanya kepada MH.
Mierul berkata demikian ketika ditemui pada malam anugerah Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Mierul dinobatkan sebagai pemenang anugerah Pelakon Lelaki Harapan FFM35 menerusi lakonan mantapnya dalam filem Tarung: Unforgiven.
Ibu Turut Terlebih Dahulu Mengetahui Ancaman
Dalam pada itu, Mierul mengakui agak terkejut dengan insiden berkenaan, lebih-lebih lagi apabila mengetahui ibunya terlebih dahulu mendapat tahu mengenai ancaman tersebut.

“Pada mulanya, saya memang agak terkejut. Hal itu sebenarnya diketahui dahulu oleh ibu saya.
“Jadi, bila isu ini telah melibatkan kegusaran dan kerisauan bagi pihak ibu bapa dan keluarga, saya rasa seperti telah membuat satu kesalahan kepada pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan saya sebelum ini.
“Disebabkan hal itu, saya merasakan yang saya perlu membuat permohonan maaf. Mungkin ada silap daripada saya atau mereka tidak bersetuju dengan apa yang telah saya lakukan sepanjang siri jelajah filem ini,” katanya lagi.
Mengulas lanjut mengenai keputusannya untuk tidak mengambil tindakan lanjut berhubung insiden berkenaan, Mierul berpendapat setiap permasalahan boleh diselesaikan menerusi pendekatan saling menghormati dan berkasih sayang.

“Setiap perkara yang kita lalui, kita boleh selesaikannya dengan cara saling menghormati dan berkasih sayang.
“Alhamdulillah perjalanan saya ke beberapa buah negeri untuk siri jelajah ini telah dipermudahkan.
Anda mungkin berminat dengan
Pihak pengurusan juga mengambil berat tentang keselamatan. Bagi saya, hal ini sudah selesai,” kongsinya lagi.
Individu Terbabit Mohon Maaf Menerusi DM
Dalam oada itu, Mierul menjelaskan individu terbabit telah menghubunginya menerusi mesej peribadi (DM) di media sosial bagi menyampaikan permohonan maaf.

“Individu itu memohon maaf menerusi mesej peribadi (DM) di media sosial. Saya pun telah berkongsikan perkara itu kepada pihak pengurusan. Kita pun bersetuju untuk menerima permohonan maaf itu,” akhirinya.
Terdahulu, Mierul mencuri perhatian selepas menerima komen berunsur ugutan daripada seorang pengguna media sosial yang mendakwa mahu menyerangnya menggunakan parang.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

sekarang!

