
Penyanyi, Ernie Zakri terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik apabila menerima anugerah ‘Celebrity Entrepreneur of the Year’ pada SEBA ASEAN Elites Edition 2025/2026.
Pengiktirafan yang berlangsung pada 17 November lalu itu diberikan sebagai penghargaan terhadap pencapaian kerjaya, kecemerlangan seni serta sumbangan Ernie dalam memartabatkan industri muzik Malaysia.
Anugerah berkenaan meraikan perjalanan Ernie sebagai anak seni yang terus berkembang, memperluas pengaruh dan membina kedudukan kukuh dalam industri hiburan.
Bagaimanapun, asas penganugerahan tersebut lebih tertumpu kepada pencapaian profesional, sumbangan artistik serta pengaruh beliau sepanjang bergelar anak seni, bukannya pemilikan perniagaan.
Bermula Usia 17 Tahun, Kini Diiktiraf Di Peringkat Antarabangsa
Memulakan perjalanan dalam industri muzik ketika berusia 17 tahun, Ernie mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai juara termuda Bintang RTM pada 2009.
Malah, bakat dan kredibilitinya turut dibuktikan menerusi pelbagai pengiktirafan industri, termasuk anugerah Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu.
Kerjaya Ernie kemudian memasuki fasa baharu selepas beliau bernaung di bawah Universal Music Malaysia, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk mengembangkan pengaruhnya di peringkat serantau.
Antara pencapaian terbesar yang mencuri perhatian ialah kejayaan lagu Masing Masing yang berjaya meraih lebih 280 juta penstriman selain menerima Anugerah Platinum.
Pencapaian tersebut menjadi antara faktor penting yang memperluas jangkauan muzik Ernie di Asia Tenggara, khususnya di Indonesia.
Pengaruh penyanyi itu turut mendapat perhatian antarabangsa apabila wajahnya menghiasi papan iklan digital di Times Square, New York, menerusi dua penampilan berbeza.
Kejayaan berkenaan bukan sahaja meningkatkan keterlihatan bakat Malaysia di pentas dunia, malah mencerminkan perkembangan kerjaya Ernie yang semakin melangkaui sempadan negara.

Baca Artikel Lain;
Jadi Inspirasi Generasi Baharu
Selain kejayaan menerusi rakaman lagu dan persembahan, Ernie turut memainkan peranan dalam usaha memperkenalkan muzik serta identiti budaya Malaysia kepada khalayak antarabangsa.
Antara penglibatan penting beliau termasuk menerusi lagu tema Visit Malaysia 2026 yang memperlihatkan keupayaan seorang anak seni menjadi penghubung masyarakat melalui muzik, selain membawa imej negara ke pentas lebih luas.
Anda mungkin berminat dengan
Penganugerahan ‘Celebrity Entrepreneur of the Year’ ini juga merupakan pengiktirafan terhadap konsistensi, ketabahan dan keupayaan Ernie untuk terus mengekalkan relevansi dalam industri hiburan yang sentiasa berubah.
Perjalanan seni yang dilalui beliau turut menjadi sumber inspirasi kepada generasi baharu artis tempatan untuk terus mengasah bakat, mengekalkan mutu karya serta berani meneroka peluang di peringkat antarabangsa.
Untuk rekod, SEBA ASEAN Awards dianjurkan oleh Yayasan Usahawan Malaysia dan kini memasuki edisi ke-12.
Anugerah berkenaan memberikan pengiktirafan kepada individu cemerlang serta personaliti berpengaruh daripada pelbagai industri atas pencapaian dan sumbangan mereka dalam bidang masing-masing.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

sekarang!

