
Penyanyi, Mawi tampil menjelaskan sebab dirinya dilihat agak keberatan untuk menyebut ‘tagline’ popularnya, ‘World’ ketika diperkenalkan pada konsert minggu kedua Gegar Vaganza Fantasia (GVF), Ahad lalu.
Menurut Mawi, selepas sekian lama tidak menggunakan perkataan ikonik tersebut, dia mengakui berasa sedikit kekok untuk kembali menyebutnya di hadapan penonton.

“Perkataan ‘World’ itu bagus tapi bila sudah lama tidak disebut, saya rasa macam ‘poyo’ pula. Itulah apa yang saya rasa. Ia macam susah nak keluar daripada mulut. Rasa itu seperti tidak lepas.
“Sebab itu saya hanya buat tagline viral ‘six seven’ kerana ia kesukaan anak saya. Selepas ini, saya boleh sahaja nak sebut. Bergantung kepada rasa dan keadaan,” katanya kepada MH.
Juara Akademi Fantasia musim ke-3 (AF3) itu berkata demikian ketika ditemui pada konsert minggu kedua GVF, baru-baru ini.
Tekanan Bertanding Lebih Terkawal, Syukur Sokongan Peminat
Mengulas mengenai perasaannya kembali bertanding dalam program realiti, Mawi mengakui tekanan dan rasa gemuruh yang dialaminya kini lebih terkawal berikutan pengalaman terdahulu.

“Persembahan kita tidak terlalu lama. Paling maksimum pun tiga minit sahaja. Namun, persiapannya memerlukan komitmen yang tinggi.
“Saya rasa sama sahaja seperti mana yang saya lalui di Akademi Fantasia dahulu. Rasa dan tekanan itu tetap ada. Cuma kali ini perasaan itu lebih terkawal kerana kita sudah laluinya dahulu.
“Saya hanya menikmati sahaja perjalanan di program ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mawi turut mengakui teruja melihat sokongan luar biasa daripada peminat yang bertungkus-lumus mengundinya sehingga berjaya dinobatkan sebagai pemenang anugerah Glam Alha Alfa, sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,000.

“Saya pun tak sangka sebenarnya. Bila diumumkan sebagai pemenang undian mingguan itu, saya pun terkejut. Nak pegang papan hadiah itu pun rasa kekok.
“Alhamdulillah. Terima kasih kepada mereka yang mengundi,” kongsinya lagi.
Pemilihan Lagu Perlu Sesuai Dengan Identiti Diri
Ditanya sama ada dia hanya akan membawakan lagu berentak kerohanian sepanjang bertanding di Gegar Vaganza Fantasia (GVF), Mawi menjelaskan bahawa pemilihan lagu perlu mengambil kira kesesuaian dengan identiti serta kekuatan dirinya sebagai penyanyi.

“Kita kena sedar diri. Bagi seorang Mawi, dia tahu lagu apa yang sesuai dinyanyikan. Kita jangan cuba sesuatu yang bukan diri kita.
Anda mungkin berminat dengan
“Lagu Intifada itu ada kisah disebaliknya. Kalau anda ingat semula, ketika konsert prelude AF3, saya tersingkir kerana membawakan lagu itu.
“Saya ada juga senarai lagu-lagu lain namun, bila sudah buat perbincangan dengan pihak produksi, Intifada ini ada aura konsert. Malah, mereka juga nak imbangkan lagu-lagu pada minggu itu nanti,” akhirinya.
Terdahulu, pada konsert minggu kedua GVF, Mawi berjaya menduduki tangga kedua di belakang Stacy dengan perbezaan markah sebanyak 6.73%.
GVF berlangsung selama 11 minggu secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam bermula 9 November, setiap Sabtu pada pukul 9 malam menerusi Astro Ria (104).
Program berkenaan turut boleh distrim menerusi On Demand, Astro GO dan Sooka.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!


