
Selepas 15 tahun menantikan kehadiran cahaya mata, impian pelawak Achey dan isterinya, Nor Hasanah Yahaya untuk menimang zuriat sendiri akhirnya bakal menjadi kenyataan.
Menerusi hantaran di Instagram, Nor Hasanah atau lebih mesra disapa Anne berkongsi khabar gembira apabila kini sedang hamil anak pertama hasil ikhtiar menerusi rawatan persenyawaan in vitro (IVF) yang dimulakan sejak September lalu.
Menurut Anne, meskipun penantian tersebut mengambil masa yang agak lama, dia dan Achey tidak pernah berputus asa untuk terus berusaha serta menyimpan harapan agar dikurniakan cahaya mata sendiri.
View this post on Instagram
“15 tahun menanti. Bukan sehari dua kami menunggu. Bukan setahun dua kami berharap. Tetapi selama 15 tahun, kami menyimpan impian yang sama.
“Ada doa yang tidak pernah putus walaupun berkali-kali diuji,” tulisnya.
Malah, Anne turut percaya setiap perkara yang berlaku pasti mempunyai hikmah tersendiri.

“Perjalanan ini bukan mudah, tetapi kami percaya setiap yang Allah aturkan pasti ada hikmahnya.
“Sehinggalah Allah hadirkan satu berita yang selama ini kami impikan. Alhamdulillah, kami bakal menimang cahaya mata. Akhirnya Allah izinkan,” kongsinya lagi.
Achey Sebak, Terus Sujud Syukur Terima Berita Gembira
Menerusi hantaran sama, Anne turut berkongsi sebuah video yang memaparkan reaksi ahli keluarga mereka ketika menerima perkhabaran menggembirakan itu.
Lebih menyentuh hati, Achey dilihat gagal menahan sebak sebaik sahaja mengetahui berita berkenaan. Malah, pelawak itu turut melakukan sujud syukur sebagai tanda kesyukuran atas rezeki yang sekian lama dinantikan.

Sehingga kini, video berkenaan telah meraih lebih 460,000 tontonan di Instagram.
Perkongsian tersebut turut dibanjiri ucapan tahniah daripada rakan-rakan artis dan netizen yang tidak ketinggalan menzahirkan rasa syukur serta berkongsi kegembiraan atas rezeki yang akhirnya hadir buat pasangan itu.
Pernah Gagal IVF Pertama, Anak Angkat Jadi Penyeri Keluarga
Terdahulu, Achey pernah berkongsi mengenai keadaan isterinya yang berehat di rumah bagi menjalani rawatan IVF kali kedua, bermula 5 September lalu.
Anda mungkin berminat dengan

Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah berkata, keputusan untuk meneruskan rawatan IVF kali kedua itu dibuat susulan anak mereka, Nur Tiara Zinnirah, sering menyatakan hasrat untuk mempunyai adik.
Pada Disember 2022, Achey dilaporkan memaklumkan bahawa isterinya menjalani rawatan IVF bagi mendapatkan zuriat, namun usaha tersebut tidak berjaya.
Untuk rekod, Achey dan Anne mendirikan rumah tangga pada 2011 sebelum mengambil Nur Tiara Zinnirah sebagai anak angkat pada 2018.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!


