
Penyanyi Linda Rafar tidak dapat menahan sebak apabila anak sulungnya, Rezaril Keifli, menyatakan hasrat untuk mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya, Nur Izzati Syafikah, pada Januari lalu.
Menurut Linda, perasaan itu sukar digambarkan memandangkan dia tidak pernah berjauhan dengan Aril sejak anak sulungnya itu masih bayi.

“Saya rasa agak sedih dan sebak sebab Aril ini tidak pernah berpisah dengan saya dari usianya masih bayi sehinggala usianya 26 tahun sekarang. Dalam dua hingga tiga hari pun tak pernah. Dia hari-hari bersama saya.
“Bila dia menyatakan hasrat untuk berkahwin, bukan saya sahaja yang menangis, adik-adiknya juga menangis. Saya rasa momen ini tak ramai yang tahu.
“Itu menggambarkan betapa rapatnya kami sekeluarga. Susah untuk saya menerima keputusan itu tapi saya kena akur. Sudah tiba masanya untuk dia punyai kehidupan sendiri,” katanya kepada MH.
Anggota kumpulan Elite itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pertunangan Aril dan Ika yang berlangsung di Habib Landmark, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Syukur Aril Bertemu Pasangan Yang Penyayang
Dalam masa sama, Linda meluahkan rasa syukur apabila Aril dipertemukan dengan bakal isteri yang disifatkan sebagai seorang wanita penyayang, mudah mesra dan mampu menyesuaikan diri dengan seluruh ahli keluarga.
Menurut Linda, hubungan Aril dan Ika bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan mereka sudah saling mengenali sejak zaman persekolahan sebelum kembali dipertemukan selepas masing-masing membawa haluan sendiri demi menyambung pengajian.
“Saya bersyukur kerana Aril dipertemukan dengan Ika yang sangat penyayang. Mereka sudah berkawan agak lama. Sejak di zaman sekolah lagi.
“Mereka pernah terputus hubungan sementara kerana menyambung pengajian. Bila sudah bekerja, mereka dipertemukan semula.
“Saya bersyukur kerana Aril memilih Ika. Saya tak nampak dia sejenis yang mengongkong atau nak ambil alih Aril ini. Dengan adik beradik yang lain jua Ika sangat mesra.
“Saya lega dan boleh menerimanya sebagai bakal menantu. Saya sangat gembira,alhamdulillah,” ujarnya.
Aril Semakin Matang, Bersedia Pikulkan Tanggungjawab
Tambah Linda, dia turut melihat perubahan positif dalam diri Aril yang kini semakin matang dan bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami.

“Saya lihat Aril ni seorang yang setia. Kalau nak tahu, dia ada seorang saja teman wanita iaitu Ika.
“Bukan nak puji anak tapi memang Ika sahajalah kawan dia, bila hubungan mereka pernah putus pun dia tidak bercinta dengan sesiapa sehinggalah mereka bertemu kembali.
“Saya nampak anak saya sudah semakin matang Dia lihat perjalanan saya membersarkannya. Masa kecil umur 10 tahun dia dah tak ada bapa kerana saya bercerai. Dia tahu saya membesarkannya sendiri,” katanya.
Anda mungkin berminat dengan
View this post on Instagram
View this post on Instagram
Untuk rekod, Linda pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas pelumba kereta, Keifli Othman, pada 1999 sebelum mereka bercerai pada 2004.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang anak lelaki, iaitu Aril dan Rezaiman Keifli. Bagaimanapun, Rezaiman meninggal dunia pada usia 12 tahun akibat ketumbuhan kronik di dalam perut.
Linda kemudiannya berkahwin dengan pelakon Syed Aiman pada 2 Disember 2006.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata lelaki, iaitu Syed Rezaqiib, Syed Rezariiq dan Syed Rezaliif.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

