
Pelakon Aedy Ashraf tidak menyangka impiannya untuk menyatukan dua nama besar industri, Bront Palarae dan Zul Ariffin di layar perak menjadi kenyataan menerusi filem terbitannya, Tarung: Unforgiven.
Menurut Aedy, dia bersama pengarah Razaisyam Rashid sudah merancang strategi terbaik bagi memastikan kedua-dua pelakon hebat itu bersetuju untuk terbabit di dalam projek berkenaan.

“Saya sebenarnya sudah lama mengimpikan untuk melihat dua nama besar ini bergabung di layar perak. Akhirnya cita-cita saya tercapai melalui filem ini.
“Nak dapatkan Zul adalah tugas saya, manakala Bront pula adalah tugas pengarah. Ketika nak melamar Zul, pengarah bagitahu saya, ketika itu, dia sedang giat berlatih ‘sparing’ untuk sebuah filem.
“Pengarah minta saya jumpa dan buatlah apa yang termampu walaupun harus berlawan dengan Zul,” katanya kepada MH.
Aedy berkata demikian ketika ditemui pada acara tayangan perdana filem Tarung: Unforgiven, baru-baru ini.
Tambah Aedy lagi, ketika pertemuan pertama bersama Zul di pusat latihan, dia sudah bersedia untuk berdepan apa sahaja situasi demi memastikan pelakon itu bersetuju menjayakan filem tersebut.

“Sampai ke tempat latihan, saya nampak Zul sedang giat berlatih. Badannya pula memang kekar. Ketika itu, misi saya satu sahaja untuk dia berlakon di dalam filem saya.
“Kena tumbuk pun tak mengapalah. Kemudian, kita berbincang dan adakan satu sesi sparing yang ringan. Sampai ke tahap itu saya sanggup buat untuk dapatkan Zul,” kongsinya lagi.
Zul Puji Kesungguhan Aedy
Sementara itu, Zul mengakui dia tertarik dengan kesungguhan yang ditunjukkan Aedy demi merealisasikan projek tersebut.
Menurut Zul, semangat dan keyakinan yang ada pada Aedy menjadi antara faktor utama dia bersetuju untuk membintangi Tarung: Unforgiven.

“Sebenarnya saya sudah lama pasang hasrat yang satu hari nanti, saya akan bekerja dengan Razaisyam. Namun, saya tak tahu apa projeknya.
“Alhamdulillah, Aedy tiba-tiba muncul di gimnasium ketika saya berlatih dan dia menyuarakan idea itu.
Anda mungkin berminat dengan
“Bila ingat semula detik itu, ia bukan sekadar skrip tapi saya dapat nampak kejituan seorang Aedy. Saya sentiasa ingin bekerja dengan seseorang yang ada semangat seperti itu.
“Dia betul-betul mahu projek ini berjaya. Saya bersyukur dapat berlakon dengan pelakon-pelakon hebat. Lepas tengok filem ini siap, saya rasa sangat bertuah,” katanya.
Tarung: Unforgiven bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei ini.
Selain Aedy, Zul dan Bront, filem ini turut dibarisi pelakon hebat lain seperti Mierul Aiman, Azira Shafinaz, Bront Palarae, Sharifah Sakinah dan ramai lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

